KOTA KINABALU: Elak pisang berbuah dua kali, itulah saranan dan pendapat, Presiden Pertubuhan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berhubung keterbukaan BN yang menyuarakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.
Sambil menyifatkan ia merupakan sesuatu perkara yang di luar jangka, beliau turut berpandangan BN atau UMNO Sabah seakan mudah melupakan apa yang mereka lakukan terhadap Hajiji, sebelum ini.
Tambahnya, nilai setiakawan dalam politik amat tinggi harganya dan pihaknya turut beranggapan, bukan mudah perkara tersebut diterjemahkan memandangkan kemelut politik terbabit berpunca daripada BN Sabah kerana mahu menggulingkan Ketua Menteri.
“Saya bukan mengambil kesempatan atau mempunyai maksud tidak baik mengenai perkara ini, tetapi tindakan mereka mahu berunding dalam kerajaan perpaduan dilihat tidak masuk akal.
“Ini kerana, sudah begitu baik proses pentadbiran Kerajaan GRS/BN dan tidak semena-mena, BN dan UMNO Sabah berpakat dengan pihak pembangkang untuk menggulingkan Hajiji.
“Perkara ini, rakyat Sabah semua tahu, dan bukanlah satu rahsia politik lagi dan akhirnya Hajiji terus menerima sokongan, termasuklah lima ADUN mereka dengan tujuh lagi ADUN PH, “katanya dalam satu kenyataan medianya, petang tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu BN mendokong dan memberi sokongan kerajaan perpaduan di bawah pentadbiran Hajiji, hari ini.
Perkara itu diumumkan Setiausaha BN Pusat, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mana dalam kenyataan sama, BN turut menamakan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan mewakili UMNO dan BN Sabah dalam melakukan perundingan dengan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, jelas Najib, sebagai rakyat Sabah, beliau tentunya mahukan kestabilan politik berpanjangan bagi mengekalkan dan memperhebat pembangunan ekonomi negeri dan bukannya dijamukan wadah kekacauan politik setiap masa.
“Saya fikir, Ketua Menteri dan pentadbiran kabinet negeri serta wakil rakyat kerajaan peka perkara ini, dan saya juga percaya mereka akan menyelesaikan isu berkenaan dengan bijaksana.
“Sudah-sudahlah kita berpolitik, masa PRU sudah berlalu dan kini masanya kita memperterjemah hala tuju SMJ itu untuk membangunkan negeri.
“Bagi saya, Hajiji selama ini memberi fokus kepada kerajaan bekerja dan kurang menekankan politik semata-mata, jadi kita perlu memberi sokongan kepada beliau untuk meneruskan agenda kerajaan memakmurkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah, “katanya lagi.-pr/BNN