KOTA KINABALU: Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan (FSSK) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama dengan Kursi Kadazan-Dusun UMS baru-baru ini telah menganjurkan program ceramah secara atas talian yang bertajuk “Sogit Perubahan Pelaksanaan Amalan Sogit Dalam Kalangan Masyarakat Kadazandusun Di Sabah”.

Program ceramah yang diadakan pada 12 Januari 2024 dikendalikan melalui Webex dan menarik penyertaan aktif daripada seramai 800 para peserta termasuk pelajar tahun pertama UMS.

Program ini menampilkan tiga orang penceramah yang dihormati iaitu Ketua Anak Negeri
(KAN) Roger Meylin Impou (Mahkamah Anak Negeri Daerah Kota Kinabalu), Ketua Anak
Negeri (KAN) Viola Giluk Dompok (Mahkamah Anak Negeri Daerah Penampang) dan Ketua
Kampung Encik David Raji Joy (Kampung Kopimpinan, Putatan, wakil Ketua Daerah OKK
Datuk Stephen Sondoh (Mahkamah Anak Negeri Daerah Putatan) yang berkongsi refleksi
tentang amalan sogit di kalangan masyarakat Kadazandusun di Sabah, Malaysia.

Menurut KAN Roger Meylin Impou, sogit adalah tradisi lama dalam masyarakat Anak Negeri
yang bertindak sebagai penalti kerana melanggar undang-undang Anak Negeri. Sogit
tersebut bertujuan untuk menjaga keamanan, menyelesai konflik, meredakan ketegangan
selain dari mengenakan pampasan bagi pelanggaran adat di Sabah.

Dalam konteksMahkamah Anak Negeri, sogit melibatkan hukuman berdarah (melibatkan sembelihanbinatang) berpandukan Enekman Anak Negeri (Undang-undang Adat Anak Negeri 1995).

Dari segi sejarah, sogit diperluaskan kepada interaksi dengan roh terutamanya dalam ritual
pagan. Namun demikian, pada masa ini, upacara sebegini jarang berlaku di Kota Kinabalu
kerana penganutan agama dan sukar untuk mendapatkan bobolian, tetapi masih diamalkan
di kawasan luar bandar. “Walaupun peredaran zaman yang semakin moden membawa
kepada perubahan cara hidup sosial dan penganutan agama, perlaksanaan amalan sogit
dikalangan Kadazandusun tidak banyak perubahan sebab amalan sogit merupakan amalan
yang diwarisi sejak dulu lagi”, tambah KAN Roger Meylin Impou.

Para penceramah menegaskan bahawa denda dan amalan sogit adalah berbeza di setiap
daerah (kampung masing-masing) dengan Ketua Kampung diberi kuasa untuk mengenakan
denda sogit terutamanya dalam kes pelanggaran adat atau konflik dan boleh bertindak
sebagai orang tengah untuk penyelesaian secara aman di peringkat kampung. Yang penting, sogit ini akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar adat-adat suku di Sabah.

KAN Viola Giluk Dompok (Mahkamah Anak Negeri Daerah Penampang), menyatakan bahawa sogit berkenaan dengan pelanggaran undang-undang adat Anak Negeri adalah tidak mengira agama atau bangsa, selagi melibatkan Anak Negeri maka sogit akan tetap
dikenakan.

Sebagai contoh dalam perbincangan beliau, tindakan keterlaluan sekumpulan warga asing yang berbogel dan membuang air kecil mencemarkan kesucian Gunung Kinabalu yang merupakan gunung suci bagi masyarakat Kadazandusun. Maka warga asing yang dikenakan sogit melibatkan upacara korban haiwan seperti kerbau, ayam atau babi diikuti dengan ritual untuk menenangkan semangat dan roh-roh di gunung.

Namun demikian, ramai antara generasi muda berpendapat bahawa amalan sogit ini sudah
lapuk, ketinggalan zaman dan berfikiran kolot. KAN Roger Meylin Impou menegaskan
bahawa generasi muda tidak ada pilihan. “Langgar adat, langgar pantang pasti kena sogit!”
tambah beliau.

“Pada zaman moden ini, memang terdapat perubahan dalam adat tradisional (sogit).
Beberapa amalan tradisi terutamanya dalam golongan orang tua masih diamalkan. Namun
generasi muda mungkin tidak sedar kerana kurang pengetahuan mengenai amalan sogit
dalam kalangan masyarakat Kadazandusun di Sabah. Ini kerana, Ketua Kampung hanya
mempunyai peluang untuk membincangkan adat-adat sogit pertunangan dalam upacara
pertunangan sahaja dan sebagainya” kata Ketua Kampung Encik David Raji Joy.

Beliau pernah terlibat dalam menyaksikan pertunangan lebih daripada 20 pasangan. Salah satunya pertunangan antara masyarakat yang berbeza iaitu Dusun dan Tator di mana, pasangan berbangsa Tator mengikuti adat-adat dan sogit yang diamalkan dalam masyarakat Dusun.

“Kebanyakkan amalan tradisi ini diamalkan oleh masyarakat pagan sebelum ini. Tetapi
kebanyakan kita sudah mempunyai agama masing-masing. Jadi tidak semua adat masih
diamalkan. Hanya beberapa adat yang sering kita lalui setiap hari”, kata Ketua Kampung
Encik David Raji Joy.

Program ceramah sogit ini diterajui oleh Dr Trixie Marjorie Tangit (pensyarah kanan Fakulti
Sains Sosial Dan Kemanusiaan, FSSK) bersama Profesor Datuk Seri Panglima Clarence B.
Malakun, J.P. (Kursi Kadazan-Dusun, Universiti Malaysia Sabah). Ceramah sogit ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan khalayak umum dan juga para pelajar tahun 1 UMS yang datang dari pelbagai negeri di seluruh negara. Pelajar tahun 1 tersebut mengikuti kursus teras fakulti yang bertajuk “Budaya dan Masyarakat di Sabah” (AT10703) yang bermatlamat untuk mendedahkan mahasiswa dan mahasiswi kepada keunikan masyarakat Sabah. -pr/BNN