UMNO Sabah sokong penubuhan GBS

0
727
HAJIJI (empat dari kanan) bersama kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Sabah semasa mesyuarat itu.
KOTA KINABALU: Badan Perhubungan UMNO Sabah (BPUN) dalam mesyuaratnya hari ini  bersetuju  dan menyokong penubuhan blok pembangkang- Gabungan Bersatu Sabah (GBS).
Pengerusinya, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, GBS merupakan pakatan pembangkang yang menyatukan parti-parti pembangkang sedia ada di negeri ini.
Katanya, GBS yang kini dalam proses didaftarkan, setakat ini akan dianggotai oleh UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR.
“GBS akan menjadi gabungan parti-parti pembangkang yang kuat di Sabah dan kita berazam mengambil alih Kerajaan Negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang”, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat BPUN Sabah di bangunan UMNO, hari ini.
Hajiji berkata,  UMNO Sabah  berpendapat
parti-parti pembangkang sedia ada di negeri ini perlu bergabung dalam satu blok dan bergerak dalam satu tujuan demi membela kepentingan rakyat dan hak-hak negeri Sabah.
Turut hadir dalam mesyuarat hari ini ialah Timbalan Pengerusi BPUN, Datuk Bung Moktar Radin, Setiausaha, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Ketua Penerangan, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Bendahari-Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, Ketua Pergerakan Pemuda, Encik Aziz Julkarnain, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Mohd.Salleh Said Keruak yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud dan juga Ketua-Ketua Bahagian UMNO.-Oleh LSK/BNN