KUDAT: Kerajaan Negeri komited untuk menyelesaikan masalah air yang dihadapi
penduduk Pulau Banggi menerusi pembinaan sebuah loji rawatan air (LRA) baharu
khusus untuk pulau itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, beliau akan
mendapatkan laporan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengenai jumlah kos
loji berkenaan bagi menentukan peruntukan yang diperlukan.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah
yang dihadapi rakyat, termasuk bekalan air dan keperluan asas lain yang penting untuk
rakyat.

“Saya mahu dapatkan laporan daripada JANS berapa kos untuk membuat loji di Pulau
Banggi, insyaAllah saya akan bagi peruntukan”.

“Ini amat penting bagi memenuhi keperluan asas rakyat kita seperti air dan lain-lain
kemudahan asas yang mesti diutamakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah
Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)
Bahagian Banggi dan Tanjung Kapor di Dewan Tun Mustapha di sini pada Ahad.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah; Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Rudy Awah; Ketua Wanita Gagasan
Rakyat, Datuk Redonah Bahanda; ADUN Banggi, Encik Mohamad Mohamarin dan
ADUN Tanjung Kapor, Encik Ben Chong.

Hajiji berkata demikian sebagai maklum balas terhadap permintaan Mohamad
mengenai perlunya sebuah LRA khas untuk penduduk Pulau Banggi bagi mengatasi
masalah air yang dihadapi penduduk selama ini.

Selain masalah di Pulau Banggi, Hajiji berkata beliau turut memberi perhatian terhadap
masalah yang dihadapi penduduk di Tanjung Kapor dan kawasan lain di seluruh negeri.
Sementara itu, Hajiji menyifatkan Kudat sebagai daerah yang istimewa bukan saja
kepada diri beliau, malah kepada sejarah Sabah sejajar kedudukannya sebagai daerah
kelahiran bapa kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun.

 

“Hari ini saya berada di Kudat, satu daerah yang istimewa dan mempunyai sejarah
tersendiri kerana di Kudat inilah lahirnya seorang pemimpin utama Sabah, Tun Datu
Mustapha”.

“Saya juga berharap majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri seumpama ini dapat kita
guna dengan sebaiknya untuk merapatkan silaturahim di antara sesama kita, bukan saja
dengan orang Islam, tapi juga dengan yang bukan Islam,” katanya.

Katanya, sudah menjadi budaya rakyat Sabah sama-sama memeriahkan sambutan
perayaan pelbagai kaum dan agama sekali gus menjadikan negeri ini kuat dari segi
toleransi kaum dan agama.

Ketua Menteri menjelaskan Sabah tidak berdepan sebarang isu dikaitkan dengan
perbezaan fahaman politik, kaum atau agama dan ia sesuatu yang harus dibanggakan
oleh rakyat negeri ini.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat tidak lupa mengingatkan ahli
parti dan rakyat di Kudat keseluruhannya untuk memastikan parti itu dan rakan dalam
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus kukuh dan dapat membela nasib rakyat kawasan
ini.

Katanya, segala tuduhan yang dilemparkan pihak lain, khususnya pembangkang
terhadap kerajaan pimpinan GRS ketika ini hanyalah fitnah bagi menggugat kestabilan
Kerajaan Negeri yang tidak perlu dilayan.

Sebaliknya, beliau berkata pemimpin di semua peringkat perlu sama-sama
menumpukan tugas untuk membela rakyat negeri ini sejajar kehendak rakyat.

Hajiji juga menyerahkan kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima yang layak,
bantuan Kerajaan Negeri sebanyak RM540,000 kepada 27 ketua isi rumah (KIR)
mangsa kebakaran Kampung Tanjong Kapor Hujung dan sumbangan kerajaan
sebanyak RM300,000 kepada Gereja Basel Malaysia untuk pembinaan muzium gereja
itu di Kudat.

Sementara itu, Hajiji turut merasmikan GL Hotel 2 di Kudat yang dimiliki oleh usahawan
tempatan, Datuk Haji Gurahman Lolong.-pr/BNN