KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) telah meluluskan pelbagai inisiatif
termasuk meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui baharu yang akan membantu
mencapai dan mengekalkan jidar simpanan penjanaan sebanyak 30 peratus serta
mengatasi masalah kekurangan kuasa elektrik di negeri ini.
Dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, MTS dalam
mesyuarat pertamanya hari ini bersetuju menjalankan kajian kebolehlaksanaan sumber
tenaga boleh baharu untuk Sabah seperti angin, geoterma dan projek janakuasa low
head hydro summersible untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu.
Cadangan-cadangan lain daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) termasuk
pelanjutan operasi loji janakuasa sedia ada yang berdaya harap, pembelian tenaga
daripada loji janakuasa biomass, memastikan penyiapan projek Solar Berskala Besar
(LSS), memperolehi kapasiti dari Sarawak, melaksanakan Sistem Penyimpanan
Tenaga Bateri (BESS), tambahan loji janakuasa gas asli sebagai bahan api peralihan
dan pengaktifan semula loji janakuasa Geoterma.
Penyiapan Pelan Pembangunan Hidroelektrik Sabah yang menjelang akhir tahun ini
dijangka akan dapat menyokong inisiatif-inisiatif penjanaan kuasa di negeri ini.
Untuk jangka masa panjang, Kerajaan Negeri akan menerokai teknologi baharu seperti
Reaktor Modular Kecil (SMRs) dengan kerjasama kerajaan persekutuan dan Penukaran
Tenaga Haba Lautan (OTEC) berikutan kelulusan Enakmen OTEC 2024 oleh Dewan
Undangan Negeri Sabah.
Ketua Menteri dalam ucapan alu-aluannya menekankan Kerajaan Negeri komited untuk
masa depan tenaga yang mampan di Sabah melalui Pelan Induk dan Halatuju Tenaga
Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada 19 Sept tahun lalu.
“SE-RAMP 2040 menggariskan pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi
keperluan tenaga dan memastikan keselamatan tenaga, mampu milik, dan kelestarian
alam sekitar,” katanya sambil menambah mesyuarat MTS tertumpu kepada menangani
cabaran tenaga semasa di Sabah, termasuk kekurangan kapasiti dan kestabilan grid
serta perancangan untuk memenuhi keperluan permintaan elektrik jangka masa
sederhana dan panjang.
Beliau turut menyeru tindakan kolektif daripada semua pihak berkepentingan dalam
memastikan kesemua pelan dan inisiatif berjaya dilaksanakan.
Terdahulu, Hajiji berkata peranan MTS yang diluluskan Jemaah Menteri pada 6 Mac
tahun ini adalah untuk memastikan keberkesanan strategi dan inisiatif SE-RAMP 2040.
Dipengerusikan oleh Ketua Menteri, MTS mempunyai 11 ahli tetap iaitu Menteri Kerjaraya, Menteri Pembangunan Industri dan Usahawan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Kewangan, SUT Kementerian Kerjaraya, SUT Kementerian Pembangunan Industri dan Usahawan, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya, Pengerusi ECoS dan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, SMJ Energy Sdn Bhd dan Sabah Electricity Sdn Bhd masing-masing adalah ahli jemputan.
MTS ditubuhkan berikutan penyerahan kuasa kawal selia tenaga daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan untuk menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan
Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah.-pr/BNN





