KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited kepada pembangunan belia di negeri ini
dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan
kepemimpinan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, pembangunan modal insan termasuk belia adalah pemacu signifikan kepada
pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya,ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi penting untuk menyokong
peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan
inovasi.

“Sebab itu sebanyak RM100.17 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk perbelanjaan
mengurus serta pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan untuk melaksanakan
pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang
menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosioekonomi
sejajar dengan Dasar Belia Sabah”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke 40 Pergerakan
Pemuda Malaysia (YMM) Cawangan Sabah di Sabah International Convention Centre
(SICC) pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin.
Hajiji berkata, golongan belia merupakan tenaga penggerak dalam pelbagai bidang
termasuklah berkaitan politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.

“Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara dan negeri serta
sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan, usaha bagi mewujudkan organisasi belia
yang mantap dan sistematik amatlah diperlukan. Justeru, YMM memainkan peranan
penting bersama-sama kerajaan dalam pembangunan belia di negeri ini”, tegasnya.

Beliau berharap YMM Sabah akan membuka lebih ruang untuk menggalakkan lebih
ramai golongan belia daripada berbilang kaum menyertai pertubuhan ini, termasuklah
menyantuni golongan itu di kawasan luar bandar dan pinggir bandar menerusi program
jangkauan luar (outreach).

 

Katanya, ini bagi memastikan belia-belia di kawasan pinggir bandar dan luar bandar
juga berpeluang menyertai pelbagai latihan, program pendidikan, kaunseling dan
pendidikan sosial bagi meningkatkan potensi mereka.

Menurutnya, YMM Sabah sebagai pertubuhan belia bertaraf “Lima Bintang” yang
diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan telah berjaya memainkan peranan penting
dalam membantu pembangunan dan memperkasakan golongan belia di negeri ini.

Katanya, menerusi usaha dilakukan oleh YMM, ramai golongan muda telah dibimbing
dan diasah bakat mereka menerusi pelbagai program latihan yang dianjurkan bagi
melahirkan golongan belia yang berfikiran lebih kritis, bertindak lebih matang dari segi
politik, ekonomi, budaya dan pendidikan.

“Saya berharap YMM terus berusaha gigih untuk menyemai nilai-nilai murni di kalangan
belia supaya menjadi individu yang berdedikasi, rasional dan ikhlas serta sentiasa
menyertai kegiatan-kegiatan belia, seterusnya menyumbangkan tenaga dalam arus
pembangunan negara.

“Ini adalah selari dengan dasar kerajaan memperkukuhkan modal insan yang berkualiti.
Ini bagi memastikan YMM kekal relevan dalam memperkasakan golomham belia di
negeri ini”, katanya.-pr/BNN