KENINGAU: Ketika ramai mencari ketenangan di tempat jauh, seorang pesawah sepenuh masa yang juga Ketua Gereja Seventh-day Adventist (SDA) Toboh Baru Keningau, Elder Aisey Talin, menemukan kedamaian dalam denyut harian sawah yang sederhana.
Musim menyemai padi seterus nya sebagai persediaan menanam padi ini bukan sekadar rutin pertanian, tetapi menjadi lambang perjuangan hidup yang menguji iman dan kesabaran.

Setiap langkah di batas sawah dan setiap genggaman tanah liat yang digaul dengan benih, membawa bersama harapan — agar setiap titik peluh hari ini berbuah rezeki yang mencukupi esok hari.
Di celah-celah tanah gersang yang kini telah dilubangkan dan dimasukkan benih, terbentang ruang harapan yang dipanjatkan dalam diam.
Sawah di Toboh Baru kembali hidup dengan usaha dan keyakinan, mencerminkan kekuatan insan luar bandar yang percaya bahawa kerja tangan sendiri adalah satu bentuk doa yang hidup.
Elder Aisey bukan sekadar menanam padi untuk keluarga, tetapi juga menanam nilai — bahawa ketabahan, kesederhanaan, dan syukur adalah kekayaan sebenar yang tidak boleh diukur dengan wang.
“Setiap lubang yang saya buat hari ini adalah tempat Tuhan akan tunjukkan kuasa-Nya – menyuburkan, menyempurnakan, dan menyediakan,” ujarnya tenang, sambil menanti hujan rahmat dan berkat dari Maha Pencipta.-pr/BNN