KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee menggesa kerajaan membatalkan pelaksanaan peraturan cukai baharu terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan komuniti yang menjalankan aktiviti pengumpulan dana.
Menurutnya, peraturan yang terkandung dalam Practice Note 1/2025 yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 24 Mac lalu menambah tekanan terhadap lebih 10,000 NGO di seluruh negara, yang selama ini bergantung kepada dana sumbangan awam bagi meneruskan program kebajikan dan sosial.
“Peraturan ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dan kesukaran dalam kalangan pemimpin komuniti, malah mewujudkan kebimbangan kerana ketidakpatuhan – meskipun tidak disengajakan – boleh menyebabkan mereka didakwa atas kesalahan jenayah cukai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Yong, yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), berkata definisi baharu “orang kena cukai” yang kini turut merangkumi “badan orang” seperti persatuan komuniti akan menyebabkan lebihan dana daripada program pengumpulan dianggap pendapatan bercukai, sedangkan ia digunakan semula untuk program masyarakat.
“Saya menyokong penuh kenyataan Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (HuaZhong), Tan Sri T.C. Goh, yang menyifatkan dasar cukai ini sebagai beban besar kepada NGO yang tidak berorientasikan keuntungan.
“Kebanyakan persatuan tidak mampu mendapatkan khidmat profesional seperti akauntan atau perancang cukai. Pemimpin persatuan pula berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang ganjaran,” katanya.
Yong turut menyifatkan masa ini sebagai amat mencabar bagi usaha mengumpul dana masyarakat kerana para penaja – yang kebanyakannya ahli perniagaan kecil – turut dibebani dengan pelbagai kewajipan cukai seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), e-invois bagi setiap transaksi dan duti setem ke atas kontrak pekerjaan.
“Walaupun kerajaan sering menggambarkan ekonomi dalam keadaan baik, realiti di peringkat akar umbi amat berbeza – perniagaan suram dan beban bertambah,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru para menteri dan wakil rakyat agar tidak berdiam diri terhadap isu ini, lebih-lebih lagi mereka sering diraikan sebagai tetamu kehormat dalam program anjuran persatuan masyarakat.
“Saya harap mereka bersuara dan mengambil tindakan segera sebelum lebih banyak kerosakan menimpa pertubuhan komuniti yang selama ini menjadi tunjang kebajikan masyarakat,” katanya.-pr/BNN





