KENINGAU: Hampir lima tahun menerajui Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman membuktikan kepimpinan bukan sekadar retorik, sebaliknya berteraskan tindakan nyata apabila pelbagai projek pembangunan berjaya direalisasikan.
Antara projek paling dinanti dan kini menjadi kenyataan ialah pembinaan jalan berturap sepanjang enam kilometer di Kampung Keritan Ulu – sesuatu yang ditunggu hampir 40 tahun oleh penduduk kampung berkenaan.
Jurucakap penduduk, Jinsumun @ Jensmol Ahip, menzahirkan kesyukuran atas usaha berterusan wakil rakyat itu yang akhirnya membolehkan penduduk menikmati kemudahan asas lebih selesa sekali gus membuka ruang baharu kepada pembangunan ekonomi luar bandar.
“Selepas penantian panjang hampir empat dekad, jalan berturap ini ibarat nadi baharu yang menghubungkan kami dengan peluang ekonomi, pendidikan dan keselesaan hidup,” katanya.
Di bawah kepimpinan Annuar, setiap kampung – besar atau kecil – diberi perhatian. Prinsip beliau jelas, iaitu memastikan tiada komuniti terpinggir daripada arus pembangunan.
Selain Keritan Ulu, beberapa kampung lain turut menikmati manfaat melalui projek naik taraf jalan raya, penyediaan bekalan asas, pembinaan kemudahan komuniti serta program pembangunan sosioekonomi rakyat.
Pembangunan ini, menurut Annuar, adalah hasil kerja keras, perancangan teliti dan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi pelaksana serta sokongan masyarakat setempat.
Bagi beliau, kepimpinan bukan diukur melalui janji atau kata-kata, sebaliknya hasil yang boleh dilihat dan dirasai oleh rakyat sendiri.
“Setiap usaha yang kita laksanakan adalah untuk kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi. Keutamaan saya ialah memastikan pembangunan sampai ke semua kampung, tanpa mengira lokasi atau saiznya,” katanya.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, persoalan kini timbul sama ada rakyat mahu mengekalkan momentum pembangunan yang sedang dikecapi atau kembali kepada titik permulaan.
Sekiranya mandat diteruskan, Liawan diyakini akan terus melangkah ke hadapan sebagai kawasan yang lebih maju, terurus dan makmur untuk seluruh lapisan masyarakat.-pr/BNN





