KENINGAU: Hujan lebat kurang setengah jam sudah cukup menukar Kampung Sandapak menjadi “kolam kecemasan” apabila Sungai Kisaging dan Sungai Tempedewon melimpah sehingga paras lapan kaki, menenggelamkan beberapa rumah penduduk serta merosakkan harta benda.

Antara kediaman yang terjejas ialah milik Geoffrey Daigo, Rita Pelleh, Edward Palangi dan Enggon Asong, yang terpaksa menyelamatkan diri bersama keluarga dalam keadaan cemas.

Kejadian banjir kilat sekitar jam 6.30 petang Ahad itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan penduduk yang mendesak agar penyelesaian segera dilaksanakan dan bukan sekadar janji bermusim.

Pengerusi JKKK Kampung Sandapak, Rayner Athanasius Adrian Eswar Munting, berkata setiap kali hujan lebat, penduduk seakan tidak dapat tidur lena kerana bimbang rumah mereka akan dinaiki air.

“Kami tidak boleh lagi menunggu hingga tragedi lebih besar berlaku. Laporan rasmi sudah diserahkan dan kini penduduk hanya menunggu tindakan segera,” katanya.

Beliau menegaskan, langkah menaik taraf culvert dan sistem perparitan di kawasan kritikal perlu dipercepatkan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Dalam masa sama, Rayner memuji tindakan pantas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik, yang menubuhkan pasukan kecemasan seramai 30 orang bagi membantu mangsa banjir.

Pasukan itu membabitkan Pejabat ADUN Bingkor, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta Persatuan Kebajikan Bingkor, yang turun padang memberi bantuan segera sejurus menerima maklumat berhubung kejadian.

“Robert menunjukkan contoh kepimpinan yang kami perlukan. Inilah pemimpin berjiwa rakyat, mendengar keluhan dan hadir pada waktu genting,” jelas Rayner.

Rayner turut memaklumkan beliau sudah menghubungi Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Keningau mengenai status permohonan culvert berhampiran rumah Geoffrey Daigo.

Katanya, JPS mengesahkan permohonan berkenaan sudah diluluskan dan kini menunggu pelaksanaan kontraktor yang dilantik.

“Ini memberi sinar baharu kepada penduduk Sandapak. Ada cahaya di hujung terowong,” katanya penuh harapan.

Rayner menegaskan kejadian itu harus menjadi titik tolak kepada kerjasama lebih erat antara kerajaan, penduduk dan kepimpinan setempat bagi mencari penyelesaian kekal demi kesejahteraan komuniti.

Keprihatinan Robert yang mendapat pujian masyarakat bersama komitmen JPS, katanya, jelas memperlihatkan denyut nadi rakyat menjadi keutamaan — sekali gus memberi mesej bahawa kepimpinan berasaskan tindakan wajar terus diberikan mandat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.-pr/BNN