KENINGAU: Prihatin bukan sekadar kata-kata, tetapi dizahirkan melalui tindakan nyata.
Itulah pendekatan yang diambil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, apabila Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.41 Liawan bersama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Keningau serta kepimpinan kampung melaksanakan program outreach bagi membantu mangsa ribut di beberapa kampung sekitar daerah ini.
Program turun padang itu merangkumi Kampung Masak, Agudon, Patikang Laut, Bakiau dan Limbawan dengan tujuan mengenal pasti bentuk bantuan segera yang diperlukan keluarga terkesan, agar mereka tidak dibiarkan berdepan kesusahan tanpa perhatian sewajarnya.
Turut hadir, Penolong Pengarah JPKA Keningau, Puan Amirah Suraip, yang menyelaraskan bantuan bersama Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setempat.
Annuar menegaskan bahawa setiap bencana perlu ditangani segera dengan tindakan nyata, bukan sekadar janji. Beliau berkata, kehadiran pemimpin di sisi rakyat pada saat getir adalah lambang kebersamaan yang sebenar.
“Dalam setiap ujian, kehadiran pemimpin di sisi rakyat adalah tanda kebersamaan. Inilah tanggungjawab saya – memastikan Liawan bukan sekadar terurus, tetapi rakyatnya berasa disokong ketika susah dan senang,” katanya.
Program outreach itu sekali lagi menegaskan pendekatan kepimpinan Annuar yang berteraskan turun padang, mendengar serta bertindak bagi memastikan rakyat tidak dibiarkan keseorangan ketika berdepan bencana.
“Prihatin mesti dibuktikan dengan tindakan. Selagi rakyat diuji, saya akan bersama mereka mencari jalan keluar,” tegas beliau.-pr/BNN





