PENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru kepada seluruh penggiat media dan penyiaran, khususnya warga TV Sabah, untuk menjadikan platform ini sebagai dunia kreativiti dan tempat berkarya.

“Saya amat menghargai kerjasama erat penggiat seni, pempengaruh, artis, bahagian teknikal penyiaran, dan studio teknikal bagi memartabatkan industri ini dan menarik pelaburan dari syarikat korporat tempatan dan luar negara,” katanya sempena majlis makan malam pelancaran TV Sabah dan Berita TV di Hongkod Koisaan, KDCA hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

“Saya juga berharap pasukan TV Sabah untuk terus berkarya, mewarnai, dan memajukan negeri ini dengan inovasi dan kreativiti.

“Saya yakin dengan potensi yang kita miliki di Sabah – dalam aspek bakat dan sumber – tidak mustahil Sabah akan mencapai visi dan menjadi peneraju industri kreatif yang mampu bersaing di peringkat nasional dan kebangsaan,” katanya.

Ketua Menteri berharap menerusi kerjasama antara TV Sabah dengan beberapa syarikat termasuk berkaitan industri seni membuka lebih banyak peluang yang boleh diterokai untuk masa depan bidang penyiaran dan penerbitan media di negeri Sabah.

“Ini bukan sahaja demi memartabatkan dunia penyiaran dan kreatif di negeri ini, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah dalam bidang penyiaran dan penerbitan media,” katanya.

Dalam majlis tersebut TV Sabah turut menandatangani MoU dengan lima syarikat dalam dunia media kreatif, iaitu Breeze Magazine, sebuah majalah lifestyle di Sabah; Persatuan Filem dan Visual Sabah; Persatuan Kebudayaan Kadazandusun atau KDCA ; Syarkat Music Right Sabah – yang berkaitan hak cipta lagu dan royalti; dan Syarikat Millenium Virtual Production – berkaitan teknikal penyiaran.

Hajiji berkata era digital masa kini telah mengubah gaya hidup masyarakat di seluruh pelusuk dunia, tidak terkecuali di Sabah.

“Peratusan penonton menggunakan aplikasi media streaming semakin meningkat disebabkan kemudahan yang disediakan aplikasi media ini berbentuk fleksibel, senang diakses dan mempunyai lebih banyak pilihan.

“Sebagai TV digital yang menyajikan 70 peratus kandungan berkaitan Sabah, TV Sabah telah berjaya mempromosikan kekayaan budaya, warisan, tradisi, dan ekosistem semula jadi Sabah sebagai tarikan pelancongan utama.

“Dengan pelancaran Berita TV, TV Sabah akan turut menyajikan pengisian program yang berfokuskan kepada politik, ekonomi, hiburan, sukan dan sosial,” katanya.

Sejak beroperasi, TV Sabah juga boleh dicapai melalui media sosial, apps dan penstriman “over-the-top” (OTT) OTT – sekali gus membolehkan capaian bulanan melebihi 20 juta.

“Ini telah menunjukkan peningkatan konsisten penonton dan saya yakin saluran ini sudah pasti akan menjadi wadah kepada penonton untuk mendapatkan berita-berita terkini khususnya yang berlaku di Sabah,” katanya.-pr/BNN