KENINGAU: Program Outreach dan Ziarah Prihatin anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan bersama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Keningau menyantuni adik Farid Abdullah di Kampung Penindukan, Mukim Patikang, yang kini berdepan komplikasi kesihatan serius dan memerlukan rawatan berterusan.
Pasukan ziarah turun padang meninjau keadaan keluarga berkenaan bagi mengenal pasti bentuk bantuan sesuai selain memberi sokongan moral agar mereka kekal tabah menghadapi dugaan.
Pihak UPPM Liawan turut merakam penghargaan kepada JPKA Keningau atas kerjasama berterusan membantu keluarga memerlukan di kawasan pedalaman.
Kehadiran mereka bukan sekadar ziarah, tetapi simbol kepimpinan berjiwa rakyat — menyalurkan harapan dan membuktikan bahawa keprihatinan adalah bahasa yang difahami semua.-pr/BNN





