Jangan berpecah sebab soal calon-Yahya

0
69
Yahya menyampaikan sumbangan kepada Hajah Nani Abah sambil diperhatikan oleh Ishar.
Yahya menyampaikan sumbangan kepada Hajah Nani Abah sambil diperhatikan oleh Ishar.

PUTATAN: Anggota UMNO diingatkan agar tidak berpecah hanya disebabkan soal calon pilihan raya kerana ia akan melemahkan parti, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, soal calon yang akan dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) ianya terserah kepada pucuk pimpinan parti.

“Jangan kerana soal calon yang akan diletakkan untuk bertanding mewakili parti dan Barisan Nasional (BN),  kita berpecah. Sekiranya ini berlaku ia akan melemahkan parti.

“Soal calon PRU, kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Dan apabila calon telah dinamakan oleh parti, seluruh anggota UMNO hendaklah memberikan sokongan yang padu bagi menentukan kemenangan UMNO/BN dalam PRU akan datang”, katanya.

Yahya berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Putatan di perkarangan kediamannya di Jalan Kuala Putatan, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putatan, Datuk Haji Arsit Sedi, Naib Ketua Bahagian, Assan Nasib, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian, Juriah Palasin, Ketua Pergerakan Puteri Bahagian, Dahliah Mohd.Zain, Setiausaha UMNO Bahagian, Ishar Ramli, Bendahari Bahagian, Datuk Haji Ibrahim OKK Laiman Diki, Ketua Penerangan Bahagian, Haji Othman Hamid, Ahli-Ahli Jawatankuasa Bahagian, pemuda, wanita dan puteri dan pemimpin masyarakat setempat.

Yahya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, perpecahan hanya akan melemahkan parti dan akhirnya yang rugi adalah ahli-ahli UMNO sendiri.

Sehubungan itu, beliau mahu anggota UMNO di semua peringkat agar mengetepikan masalah peribadi dan juga perselisihan yang mungkin berlaku, sebaliknya memberikan tumpuan kepada gerak kerja menguatkan jentera pilihan raya parti.

“PRU ke 14 akan diadakan bila-bila masa dari sekarang. Gerak kerja parti hendaklah fokus kepada memantapkan jentera terutama Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus BN yang telah dilancarkan”, tegasnya.

Beliau juga mengingatkan ahli-ahli UMNO dan rakyat agar berwaspada dengan kegiatan keluar dan masuk kampung oleh parti-parti pembangkang yang cuba meracuni fikiran rakyat dengan memburuk-burukkan kerajaan BN.

“Kita harus memandang berat terhadap kegiatan dan aktiviti parti-parti pembangkang dan memastikan ahli-ahli parti dan rakyat tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang hanya menabur janji manis dan kosong”tambahnya.

Yahya berkata, “kita sekarang dalam “mood” pilihan raya, fokus gerak kerja parti juga menjurus ke arah itu dengan mengenalpasti pengundi-pengundi berdaftar di kawasan masing-masing”.

Sempena majlis itu, Yahya turut menyampaikan sumbangan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Panglima Mohd.Najib Tun Razak dan beliau sendiri kepada pemimpin UMNO Bahagian dan juga pemimpin masyarakat setempat.-BNN