KOTA KINABALU : Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, hari ini meninjau pelaksanaan sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Stesen Minyak Petronas Lintas Kepayan.
Tinjauan ini bagi menilai kestabilan sambungan Internet yang menjadi tunjang kepada sistem BUDI95, di samping mengumpul maklum balas secara langsung daripada pengusaha stesen minyak dan pengguna mengenai pengalaman mereka menggunakan sistem tersebut.
Kerajaan menetapkan harga RON95 pada RM1.99 seliter bagi pengguna yang layak, dengan had pembelian sebanyak 300 liter sebulan. Bagi pengguna yang melebihi had atau tidak layak, harga pasaran semasa sekitar RM2.60 seliter akan dikenakan.
Bermula 15 Oktober 2025, kerajaan turut memperluas pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95 kepada pemandu e-hailing sepenuh masa, yang membolehkan mereka menikmati had tambahan pembelian petrol RON95 bersubsidi.
Sejak pelaksanaannya, sistem BUDI95 menunjukkan prestasi yang stabil dengan keupayaan memproses puluhan ribu transaksi setiap minit, sekali gus membuktikan keberkesanannya sebagai asas kukuh kepada pelaksanaan subsidi yang lebih tepat, cekap dan adil.
Kelancaran sistem ini turut disokong oleh sambungan Internet yang stabil dan pantas, yang memainkan peranan penting dalam memastikan semakan kelayakan serta pengesahan transaksi dapat dilakukan dengan efisien.
Kementerian Komunikasi, melalui Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), akan terus memantau pelaksanaan sistem ini bagi memastikan penyampaian maklumat yang jelas dan inklusif, serta menggerakkan penambahbaikan berterusan berdasarkan maklum balas rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Dato’ Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa dan Ketua Pengarah J-KOM, YBhg. Dato’ Ismail bin Yusop.-pr/BNN





