KENINGAU: Pembinaan Terminal Bas Pengangkutan Awam Bersepadu Keningau atau Keningau Sentral bakal menjadi mercu tanda baharu kemajuan sistem pengangkutan awam serta pemangkin pembangunan ekonomi daerah ini.

Projek berimpak tinggi itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) dengan pembiayaan penuh oleh Kerajaan Negeri Sabah, selaras dengan agenda pembangunan infrastruktur luar bandar di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Keningau Sentral yang akan dibangunkan di kawasan seluas 30,000 kaki persegi dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk hentian berbumbung, tandas awam, surau, ruang niaga, 500 petak parkir serta sistem keselamatan berpagar yang dipantau melalui CCTV.

Apabila siap kelak, terminal itu akan menjadi hab utama pengangkutan awam menghubungkan laluan jarak dekat dan jauh ke pelbagai destinasi seperti Kota Kinabalu, Tawau, Tenom, Tambunan, Nabawan, Sandakan, Sipitang dan beberapa daerah lain di seluruh Sabah.

Ketua Kampung Buang Sayang, Jalil Angkub, berkata projek berkenaan bukan sekadar memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih moden dan tersusun, malah berpotensi besar menjana aktiviti ekonomi setempat.

“Projek ini akan menarik lebih ramai pengunjung ke Keningau, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan peniaga tempatan. Ia simbol kemajuan bandar ini menuju status bandar moden dan mampan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Boneventure Harry, berkata pembinaan Keningau Sentral sangat penting bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna pengangkutan awam di pedalaman.

“Apabila siap kelak, terminal ini akan memudahkan urusan perjalanan harian penduduk, menyediakan kemudahan lebih selesa serta meningkatkan kecekapan perhubungan antara daerah. Ini keperluan asas yang telah lama dinantikan rakyat,” ujarnya.

Kedua-dua mereka turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, atas keprihatinan dan komitmen berterusan membangunkan kawasan luar bandar secara seimbang di seluruh negeri.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri atas perhatian terhadap pembangunan Keningau. Inisiatif seperti ini membuktikan rakyat pedalaman tidak diketepikan dalam arus kemajuan Sabah,” tambah mereka.

Keningau Sentral dijangka menjadi pemangkin utama kepada transformasi wajah Keningau sebagai bandar pedalaman yang maju, moden dan mampan menjelang 2030.-pr/BNN