KENINGAU: Dataran Keningau semalam bergema dengan sorakan anak muda apabila penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, merasmikan ‘House of Otaku’, sebuah ruang untuk komuniti belia mengetengahkan dunia e-sukan dan kreativiti digital.
Ratusan belia berhimpun menyertai pertandingan permainan popular seperti Mobile Legends, eFootball dan Tekken, menampilkan aksi sengit serta kemahiran tinggi dalam arena digital.
Sorakan penonton dan tepukan gemuruh mengiringi setiap perlawanan, menggambarkan semangat juang, disiplin dan semangat berpasukan tinggi yang dimiliki belia Keningau.
Dalam ucapan perasmiannya, Annuar menzahirkan rasa bangga dengan semangat dan keberanian peserta muda yang menjadikan e-sukan sebagai wadah membina potensi diri.
“Saya kagum melihat keberanian dan semangat juang anda semua. House of Otaku bukan sekadar tempat bermain, tetapi medan untuk membina keyakinan, mencungkil bakat, mengasah strategi serta menyemai semangat kerjasama,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti seumpama itu membuktikan bahawa teknologi dan minat belia boleh disalurkan secara positif, sekali gus menyatukan komuniti dan membuka ruang baharu ke arah masa depan yang lebih produktif.
Menurutnya, House of Otaku bukan hanya mengenai e-sukan, tetapi lambang transformasi minat belia kepada peluang yang mampu memupuk kreativiti, inovasi dan nilai kepimpinan.
Program itu turut mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa, komuniti setempat serta peminat e-sukan yang hadir memberi sokongan moral kepada para peserta.
Annuar berharap platform seperti ini akan terus memperkasa peranan belia sebagai ejen perubahan dan inspirasi dalam pembangunan daerah.
“Minat digital bukan penghalang, sebaliknya jambatan kepada pembangunan diri dan komuniti. Saya mahu belia Keningau menjadi generasi yang berani, kreatif dan bersedia memimpin masa depan,” katanya.-pr/BNN





