KUALA LUMPUR: Majlis Media Malaysia (MMM) mengambil maklum permohonan maaf awam yang dikeluarkan oleh Free Malaysia Today (FMT) serta penjelasan yang diberikan susulan semakan dalaman berhubung isu terbaharu yang melibatkan seorang wartawannya.
Dalam satu kenyataan, MMM mengiktiraf langkah yang diambil oleh organisasi berita berkenaan bagi menangani isu tersebut serta memberikan penjelasan secara terbuka mengenai pengendalian perkara itu, selaras dengan prinsip ketelusan dan tanggungjawab editorial.
MMM dengan tegas mengecam segala bentuk doxxing, gangguan, ugutan dan ancaman terhadap wartawan, sambil menegaskan bahawa tindakan sedemikian membahayakan pengamal media, melanggar privasi, keselamatan serta hak asasi manusia, dan menjejaskan peranan penting kewartawanan dalam sebuah masyarakat demokratik.
“Tiada wartawan yang seharusnya menjadi sasaran kemudaratan peribadi atau intimidasi, tanpa mengira perbezaan pandangan terhadap hasil kerja mereka,” menurut kenyataan itu.
Pada masa yang sama, MMM menekankan kepentingan wartawan mengekalkan pemikiran kritikal dalam laporan mereka, termasuk dalam pembingkaian soalan dan naratif. Pendekatan ini, katanya, mesti berasaskan persediaan rapi, penyelidikan mendalam dan analisis yang teliti.
Majlis itu turut menjelaskan bahawa tanggungjawab untuk mengekalkan piawaian profesional bukan hanya terletak pada wartawan secara individu, sebaliknya juga pada bilik berita dan organisasi media.
Ini termasuk menyediakan latihan dan bimbingan yang sewajarnya serta memupuk budaya editorial yang kukuh bagi menyokong kewartawanan bertanggungjawab tanpa mewujudkan suasana ketakutan atau penapisan kendiri.
MMM turut menggesa semua pihak supaya menahan diri, sambil menegaskan bahawa tindakan menyoal pakar, tokoh awam dan pihak berkepentingan dalam ruang awam atau terbuka merupakan amalan kewartawanan yang sah dan telah lama diterima.
Sebarang kebimbangan mengenai kelakuan kewartawanan, katanya, perlu ditangani melalui saluran profesional, seimbang dan membina, bukannya melalui kecaman terbuka atau tindakan menghukum yang ditujukan kepada individu.
Sebagai badan berkanun bebas yang ditubuhkan untuk memelihara piawaian dan akauntabiliti media, MMM menyatakan kesediaannya untuk menawarkan khidmat baiknya bagi memudah cara dialog atau pengantaraan antara pihak-pihak berkaitan, sekiranya perlu.-BNN





