KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji  Mohd Hasnan Tawik @ Charles menzahirkan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Negeri Sabah yang membantah permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berkaitan semakan dan penentuan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 itu bukan sekadar keputusan pentadbiran, sebaliknya satu keputusan kehakiman yang wajib dihormati serta dilaksanakan tanpa sebarang helah penangguhan.

Menurutnya, sebarang usaha untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah hanya akan menimbulkan persepsi bahawa hak perlembagaan Sabah terus dipinggirkan walaupun perkara itu telah diputuskan melalui saluran undang-undang yang sah.

“Sebarang usaha untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah hanya akan menimbulkan persepsi bahawa hak perlembagaan Sabah terus dipinggirkan walaupun telah diputuskan melalui saluran undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Yazid menegaskan bahawa hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan bukannya satu bentuk tuntutan baharu atau rundingan politik semata-mata.

Beliau berkata, rakyat Sabah telah terlalu lama menunggu keadilan berhubung isu yang sering dirujuk sebagai “Tahun-Tahun Yang Hilang”, dan sebarang kelewatan lanjut dalam melaksanakan keputusan mahkamah adalah tidak wajar serta bercanggah dengan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Kerajaan Persekutuan sewajarnya menunjukkan komitmen politik yang jelas dengan melaksanakan keputusan mahkamah secara berperingkat sekiranya terdapat kekangan kewangan, bukannya memohon penangguhan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghormati institusi kehakiman negara dan memastikan hak Sabah dilaksanakan sepenuhnya demi menjamin keadilan, kestabilan Persekutuan serta kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Hak Sabah mesti dihormati dan keputusan mahkamah mesti dilaksanakan,” katanya.-pr/BNN