KOTA KINABALU: Persatuan Perniagaan Malaysia–Kemboja (MCBA) melantik Datuk Dexter Lau sebagai Pengerusi Cawangan Malaysia Timur yang baharu ditubuhkan, sekali gus memperluaskan rangkaian persatuan dalam menghubungkan komuniti perniagaan di seluruh negara.
Pelantikan itu diumumkan Presiden MCBA, Dato’ Sri Dr. Ricky Yaw pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina MCBA yang menghimpunkan ahli komuniti perniagaan serta tetamu kehormat.
Antara yang hadir ialah Presiden Kehormat Dewan Perdagangan China Malaysia Sabah Datuk Lau Kok Sing; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE S. Jai Shankar; Atase Perdagangan Kedutaan Diraja Kemboja ke Malaysia, Vith Pannhha; Penasihat Kehormat MCBA Tan Sri Dato’ Tee Tiam Lee; Penasihat Undang-Undang MCBA Dato’ Dr. Lye Weng Von dan Dato’ Dr. Manjit Singh; Pengerusi NCO Holding Tan Sri Dato’ Wira Ng Chen Onn; Presiden Kehormat Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Tan Sri Dato’ Dr. Soh Thian Lai; serta Presiden One Caring Heart Malaysia Lady Puan Sri Dr. Susan Cheah.
Ricky berkata, penubuhan Cawangan Malaysia Timur mencerminkan komitmen MCBA untuk memperkukuh kehadiran persatuan di seluruh negara serta membina rangkaian perniagaan yang lebih inklusif.
Sementara itu, Dexter berkata penglibatan Sabah dan Sarawak dalam rangkaian MCBA akan melengkapkan platform perniagaan berskala nasional serta memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Kemboja.
“Pengembangan ini bukan sahaja memperluas rangkaian perniagaan, malah meningkatkan kerjasama di peringkat kerajaan dan menggalakkan aliran pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata Malaysia Timur mempunyai kedudukan strategik di Borneo dengan potensi besar dalam sektor pertanian dan pemprosesan agro, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, logistik serta perdagangan serantau.
Sebagai Pengerusi MCBA Malaysia Timur, beliau merancang menubuhkan majlis kepimpinan baharu bagi menghimpunkan komuniti perniagaan tempatan untuk menyokong inisiatif persatuan serta memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia–Kemboja.
Penubuhan cawangan itu dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.-pr/BNN





