KENINGAU: Suasana Ramadan di Bingkor terus menyemarakkan nilai kebersamaan apabila tokoh masyarakat, pemimpin dan penduduk setempat berkumpul dalam Majlis Berbuka Puasa serta penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, baru-baru ini.

Tokoh Maulidur Rasul Daerah Keningau 2024 yang juga Pengerusi Pentadbiran dan Pengurusan masjid berkenaan, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles, kelihatan diapit mesra oleh Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Seri Mohd Ishak Ayub, serta ADUN Liawan, Datuk Mohd Nadzri Nik Zawawi.

Detik kebersamaan yang dirakam di serambi masjid itu mencerminkan hubungan akrab antara pemimpin dan masyarakat, yang hadir dalam suasana penuh harmoni dan kesederhanaan bersempena bulan Ramadan.

Majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk berbuka puasa bersama, malah turut menyantuni golongan asnaf melalui penyampaian sumbangan sebagai usaha meringankan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri.

Di pedalaman Sabah, nilai keakraban seperti ini sering terserlah tanpa memerlukan ungkapan yang berlebihan. Pertemuan sederhana antara pemimpin, tokoh agama dan masyarakat sudah cukup untuk memperkukuh ikatan silaturahim.

Hakikatnya, detik-detik kebersamaan seperti inilah yang terus menyuburkan semangat persaudaraan dalam komuniti, sekali gus menjadi asas kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat setempat.-pr/BNN