KENINGAU:Seruan agar kebahagiaan dibina sebagai tanggungjawab bersama berteraskan empati, daya tahan dan kesejahteraan kolektif mendapat sokongan komuniti di daerah ini.
Presiden Persatuan Hakka Keningau merangkap Ketua Masyarakat Cina KMC Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming berkata, pendekatan berasaskan perpaduan dan keprihatinan itu amat relevan dalam masyarakat majmuk seperti di Keningau.
Sokongan itu selari dengan kenyataan Pengerusi Alliance for a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye yang menegaskan kebahagiaan bukan sekadar pencapaian individu, sebaliknya aspirasi bersama yang perlu dipupuk melalui semangat komuniti, keadilan dan empati.
Anthony berkata, tekanan hidup akibat peningkatan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi serta cabaran sosial menuntut masyarakat untuk lebih saling memahami dan memperkukuh jaringan sokongan komuniti.
“Konsep kebahagiaan tidak boleh lagi dilihat sebagai usaha individu semata-mata, sebaliknya perlu dibina bersama melalui semangat empati dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kesihatan mental serta menggesa masyarakat menghapuskan stigma, di samping menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan komuniti.
Sementara itu, Lee berkata dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi yang memberi kesan kepada kesejahteraan emosi masyarakat, justeru usaha memperkukuh keadilan dan keterangkuman perlu dipertingkatkan bagi membina komuniti lebih harmoni.-pr/BNN





