KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Dato’ Mohd Nik Nadzri Nik Zawawi menziarahi pesakit terlantar, Jeffrin Matius, 35, di Kampung Toboh Baru petang tadi serta menyalurkan bantuan kewangan selepas menerima laporan media mengenai keadaannya.

Jeffrin kini terlantar sepenuhnya selepas menjalani pembedahan beberapa bulan lalu dan bergantung kepada penjagaan keluarga.

Nadzri tiba sejurus selesai menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Bingkor, Dato’ Sr Mohd Ishak Ayub, dan meluangkan hampir satu jam mendengar sendiri keadaan keluarga daripada penjaga utama, Emilia Ben, ibu saudara mangsa.

Keadaan rumah didapati tidak sesuai untuk pesakit terlantar, dengan lebih 15 penghuni tinggal bersama serta ketiadaan kemudahan asas termasuk tandas yang hanya terdapat di bawah rumah.

Emilia turut memohon pertimbangan segera pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi menyediakan tempat tinggal lebih selesa dan selamat.

Sebagai respons, Nadzri menyalurkan bantuan kewangan serta meninjau kawasan berhampiran yang berpotensi dijadikan tapak pembinaan.

Lawatan itu turut disertai Ketua Masyarakat Cina (KMC), Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan dan petugas pejabat ADUN Liawan.-pr/BNN