KENINGAU: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Bingkor, Dato’ Sr. Mohd Ishak bin Datuk Ayub, berlangsung meriah dengan kehadiran barisan pemimpin utama negeri dan Persekutuan serta ribuan masyarakat pelbagai kaum yang membanjiri lokasi acara sejak tengah hari.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Pembantu Menteri Kewangan merangkap ADUN Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong, serta ADUN Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi.
Dr Jeffrey, yang juga ADUN Tambunan, tiba bersama isteri beliau, Datin Seri Cecilia E. Kitingan, disambut mesra oleh tuan rumah serta para pengunjung yang hadir.
Majlis yang bermula seawal jam 12.00 tengah hari itu diserikan dengan persembahan kebudayaan bertemakan Aidilfitri, selain pelbagai juadah tradisional yang dihidangkan kepada orang ramai sebagai simbol keterbukaan dan perpaduan.
Kehadiran pemimpin pelbagai latar belakang bersama masyarakat setempat mencerminkan semangat muhibah dan keharmonian yang terus subur di daerah ini, sejajar dengan semangat Aidilfitri yang menekankan nilai kemaafan, kebersamaan dan kasih sayang.-pr/BNN





