KENINGAU:  Sekolah Menengah Ken Hwa Keningau terus mencatat lonjakan prestasi apabila merekodkan kadar kelulusan 98.18 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), meningkat berbanding 96.44 peratus tahun sebelumnya.

Lebih membanggakan, seramai 48 calon memperoleh keputusan 5A dan ke atas, termasuk seorang pelajar cemerlang meraih 10A, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara kualiti pencapaian akademik sekolah itu.

Pengetuanya, Anthony Chong @ Chong Yu Kiong, berkata kejayaan berkenaan adalah hasil komitmen bersepadu warga sekolah dengan sokongan padu Lembaga Pengurusan Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta ibu bapa.

“Pendekatan pengurusan dan pengajaran yang lebih berfokus serta konsisten menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Gred Purata Sekolah (GPS) merekodkan 4.38 berbanding 4.86 sebelum ini, peningkatan kadar kelulusan dan jumlah pelajar cemerlang menunjukkan keberkesanan strategi dilaksanakan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Datuk Peter Ma Kin Yee, memuji dedikasi pengetua, guru dan kesungguhan pelajar yang menjadi pemacu kejayaan berkenaan.

Katanya, pencapaian itu membuktikan kerjasama erat antara sekolah dan komuniti mampu menghasilkan keputusan cemerlang, namun usaha berterusan perlu dipergiat bagi meningkatkan lagi GPS.

“Kejayaan ini menjadi asas untuk melakar pencapaian lebih tinggi pada masa depan,” katanya.-pr/BNN