KENINGAU: Sebuah buku panduan pelancongan bertajuk Discover Keningau edisi pertama dilancarkan sebagai inisiatif memperkenalkan keunikan serta kepelbagaian produk pelancongan daerah ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Buku yang diterbitkan oleh Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA) itu menghimpunkan informasi komprehensif mengenai destinasi, produk serta tarikan pelancongan yang terdapat di daerah Keningau, sekali gus menjadi rujukan penting kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Pelancaran buku berkenaan diadakan bersempena Malam Anugerah Industri Kreatif Pelancongan Keningau pada 2 April lalu di Bandukan Resort, di sini.
Pelancaran buku itu telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datin Dr. Cleopatra @ Clay Asing.
Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTCA), Rafie Datuk Robert berkata, penerbitan buku itu adalah antara usaha memperkukuh promosi pelancongan tempatan yang dilihat masih mempunyai potensi besar untuk diketengahkan.
“Saya percaya produk-produk pelancongan Keningau masih banyak yang belum diketahui ramai. Inisiatif ini diharap dapat membantu para pengusaha pelancongan tempatan agar lebih dikenali,” katanya.
Beliau berkata, penerbitan buku itu juga selari dengan usaha menjadikan Keningau sebagai antara destinasi utama yang perlu dikunjungi sepanjang Tahun Melawat Keningau 2026.
Katanya, usaha berterusan dalam mempromosikan produk pelancongan tempatan bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pelawat, malah berpotensi merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau berharap buku Discover Keningau dapat menjadi panduan berguna serta sumber inspirasi kepada pelancong untuk meneroka keindahan alam semula jadi dan keunikan budaya yang terdapat di daerah ini.-pr/BNN





