KOTA KINABALU: Kenaikan elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bukan sekadar pengumuman pentadbiran, sebaliknya menjadi pemangkin kebangkitan bagi memperkukuh peranan kepimpinan akar umbi di Sabah.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata langkah itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pengerusi JKKK untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, masyarakat kampung sejak sekian lama bergantung kepada kepimpinan tempatan sebagai suara dan harapan mereka, justeru amanah yang digalas perlu dilaksanakan dengan penuh keberanian, keikhlasan dan semangat juang yang tinggi.
“Di peringkat kampunglah bermulanya denyut nadi Sabah. JKKK bukan sekadar jawatan, tetapi benteng pertama rakyat untuk mengadu nasib, mendapatkan pembelaan serta menaruh harapan terhadap masa depan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, kenaikan elaun itu juga perlu menjadi pemangkin kepada perubahan sikap serta budaya kerja yang lebih proaktif dalam kalangan pemimpin kampung.
Katanya, rakyat kini semakin matang dan menilai kepimpinan berdasarkan keupayaan melaksanakan tanggungjawab, bukannya sekadar memegang gelaran.
“Rakyat Sabah tidak lagi mahukan kepimpinan yang hanya muncul dalam majlis rasmi atau sekadar memegang jawatan tanpa perjuangan. Amanah ini menuntut komitmen, pengorbanan dan keberanian untuk sentiasa bersama rakyat,” tegasnya.
Yazid turut menyifatkan inisiatif Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sebagai bukti komitmen dalam memperkukuh institusi kepimpinan kampung.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh hingga ke kawasan luar bandar, tanpa tertumpu di bandar sahaja.
“Kepimpinan kampung adalah kekuatan sebenar Sabah. Apabila JKKK kukuh, rakyat akan lebih berdaya dan negeri ini mampu bangkit dengan maruah serta jati diri sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin JKKK agar menjadikan kenaikan elaun berkenaan sebagai titik perubahan untuk memperjuangkan kebajikan rakyat secara inklusif tanpa mengira latar belakang.
“Sabah hanya akan terus maju apabila pemimpinnya berjalan seiring rakyat, memahami kesusahan mereka dan berjuang tanpa mengenal lelah demi masa depan generasi akan datang,” katanya.-pr/BNN





