KENINGAU: Langkah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) mengehadkan pembelian beras kepada dua kampit setiap individu di Sabah disambut baik masyarakat akar umbi sebagai usaha melindungi kepentingan rakyat.

Pengusaha pertanian dari Kampung Sandapak Bingkor, Jakol Wong Langkab, berkata keputusan yang diumumkan Menteri MAFFI, Datuk Jamawi Jaafar itu tepat bagi mengekang pembelian panik.

“Ini bukan sekatan, tetapi soal keadilan supaya semua orang berpeluang mendapatkan bekalan,” katanya.

Pesawah tempatan, Jefferinus Jitoh, turut menyokong langkah berkenaan yang disifatkan penting bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan, khususnya di kawasan pedalaman.

Menurutnya, walaupun bekalan mencukupi, pembelian berlebihan boleh menjejaskan pasaran dan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Bila ada yang membeli secara berlebihan, ada keluarga lain terpaksa menunggu,” katanya.

Pada masa sama, mereka menyokong ketegasan kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyorok atau memanipulasi bekalan.

Langkah audit, pemantauan serta amaran denda dan hukuman penjara dilihat sebagai isyarat jelas bahawa kerajaan tidak berkompromi dalam isu melibatkan keperluan asas rakyat.-pr/BNN