KENINGAU: Penduduk di daerah ini merayu kerajaan negeri dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) supaya segera meneliti serta mengkaji punca peningkatan mendadak bil elektrik yang didakwa berlaku sejak April lalu.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik, berkata beliau menerima banyak aduan dan keluhan daripada pengguna elektrik yang terkejut dengan jumlah bil diterima, walaupun penggunaan harian mereka didakwa tidak banyak berubah.
Katanya, sebahagian pengguna memaklumkan bil elektrik mereka meningkat sehingga sekali ganda berbanding kebiasaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
“Ramai pengguna mendakwa penggunaan tenaga elektrik mereka masih seperti biasa, namun apabila menerima bil bulan April, jumlahnya meningkat dengan ketara.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan dan kebimbangan rakyat, terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kenaikan itu turut menyebabkan ada pengguna diarahkan menambah bayaran cagaran dalam jumlah yang tinggi.
Menurutnya, terdapat pengguna menerima bil sekitar RM493, namun pada masa sama diminta menambah cagaran sehingga RM560.
“Situasi ini amat membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sedang berdepan tekanan ekonomi,” katanya.
Sehubungan itu, Yazid merayu kepada kerajaan dan pihak SESB agar menjalankan penelitian menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar peningkatan bil berkenaan demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Katanya, rakyat ketika ini sedang berusaha menyesuaikan diri dengan peningkatan kos sara hidup serta kenaikan harga barang keperluan harian.
“Kenaikan utiliti secara mendadak sudah tentu memberi tekanan dan bebanan tambahan kepada rakyat, lebih-lebih lagi keluarga yang mempunyai ramai tanggungan, warga emas dan penduduk luar bandar,” ujarnya.
Beliau menegaskan rakyat tidak menolak untuk membayar bil utiliti, namun berharap kadar dikenakan adalah munasabah dan selaras dengan penggunaan sebenar.
“Sekiranya terdapat perubahan sistem, pelarasan tarif atau isu bacaan meter, penjelasan yang jelas perlu diberikan supaya pengguna memahami keadaan sebenar dan tidak terus dibebani dengan tanda tanya,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap SESB dapat mengambil pendekatan lebih mesra rakyat dengan memperhalusi setiap aduan pengguna serta mempertimbangkan langkah bersesuaian bagi meringankan beban rakyat.
“Keutamaan ketika ini ialah memastikan rakyat tidak terus tertekan dengan peningkatan kos kehidupan. Semoga ada penyelesaian terbaik demi kesejahteraan semua,” katanya.-pr/BNN




