KOTA KINABALU: Penyediaan ruang fizikal kondusif, moden dan selamat untuk beraktiviti adalah penting bagi meningkatkan kualiti pembangunan sukan di kalangan belia di Tanjung Keramat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya berkata, dengan adanya ruang berkenaan, para belia di lokaliti setempat mampu mencurahkan bakat masing-masing dan memperterjemahkannya ke peringkat lebih tinggi serta mampu menjana pendapatan.

“Anak-anak muda di kampung-kampung sekitar Tanjung Keramat memerlukan ruang fizikal yang kondusif, moden, dan selamat untuk beraktiviti.

“Kita perlu menaiktaraf atau membina gelanggang sukan komuniti (seperti futsal atau badminton) serta mewujudkan hab ekonomi kreatif mikro di Putatan.

“Apabila kita menyediakan ekosistem sukan dan kreatif yang aktif, kita bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah kita berjaya membina benteng sosial yang kukuh untuk menjauhkan golongan muda daripada terjebak dalam gejala sosial atau penyalahgunaan dadah. Oleh itu, saya mohon Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif untuk menyalurkan sebahagian peruntukan Kepala S 46 bagi tujuan tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tambahan (2026) bersempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-17 di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, pada Isnin.

Sementara itu, SAY pada masa sama mahu menyentuh berkenaan dengan isu pembangunan belia dan keselamatan awam yang mana ianya perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Sebagai salah seorang wakil rakyat daripada generasi muda di dalam dewan yang mulia ini, mata saya pastinya tertumpu kepada Kepala S 46 di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah yang menerima tambahan peruntukan yang cukup signifikan, iaitu sebanyak RM23,681,731.

“Hampir 60 peratus daripada demografi DUN Tanjung Keramat adalah golongan muda,”tambahnya.

Kata beliau lagi, pihaknya bertekad untuk membawa aspirasi anak muda tempatan ke peringkat tertinggi menggunakan acuan dan pendekatan yang tersendiri.

“Baru-baru ini, saya telah turun sendiri menyertai program tinjauan mesra (walkabout) pada waktu malam bersama pasukan keselamatan setempat, pihak berkuasa tempatan, serta kepimpinan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di beberapa lokaliti seperti Kampung Muhibbah, Kampung Contoh, dan Kampung Sri Pandan.

“Hasil daripada penelitian di akar umbi tersebut, terdapat dua keperluan mendesak yang saya harap dapat dibantu melalui sebahagian daripada peruntukan serta kerjasama kementerian berkaitan,” katanya.-pr/BNN