KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah digesa menyediakan laluan alternatif sementara yang dan berturap dengan baik untuk mengurangkan kesesakan di kawasan berhadapan Kem Lok Kawi, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya berkata, ini berikutan terdapat banyak aduan para penduduk serta pengguna lalu lintas yang berhadapan dengan masalah kesesakan lalu lintas yang sangat kronik.

Jelasnya, beliau berharap dengan adanya tambahan peruntukkan sebanyak RM18.5 juta dengan masing-masing melibatkan (Kepala S36:RM7.3juta) dan (Kepala S37:RM11.2juta), pihak JKR mampu membantu dalam penyelesaian secara tuntas.

“Kita tahu punca utama kesesakan ini adalah daripada impak pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Pakej Kerja WP06 (Jalan Putatan ke Inanam).

“Kita menyokong penuh projek bernilai RM913 juta ini. Namun, memandangkan tempoh penyiapannya dilanjutkan sehingga tahun 2028, rakyat tidak patut dibiarkan menderita menghadap kesesakan yang teruk selama dua tahun lagi tanpa sebarang tindakan mitigasi,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tambahan (2026) bersempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-17 di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, pada Isnin.

SAY pada masa yang sama mendedahkan, dengan adanya peruntukkan tambahan berkenaan, pihaknya menuntut supaya disediakan laluan alternatif sementara yang Selamat dan berturap selain memperkasa pengurusan trafik di tapak bina supaya kerja-kerja pembinaan tidak dijalankan pada waktu puncak.

“Selain penyediaan laluan alternatif sementara, antara lain juga adalah memperkasa pengurusan trafik di tapak bina bagi mengelak kerja pembinaan dilakukan pada waktu puncak di lokasi itu.

“Ketiga, saya mencadangkan supaya digunakan dana jalan berulang untuk menyegerakan penurapan jalan-jalan berlubang di Putatan yang rosak akibat lori berat, demi keselamatan pemandu.

“Selain itu, saya memohon penjelasan terkini Kerajaan berhubung perancangan pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai (Coastal Highway) Tanjung Aru ke Kuala Papar. Lebuh raya ini adalah penyelesaian trafik jangka panjang yang wajib diberi keutamaan untuk daerah Putatan,”katanya lagi.-pr/BNN