KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima hadiah istimewa berupa beras premium Sabah daripada Pegawai Pertanian Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Puan Jenna Johnny Kulai, sempena sambutan ulang tahun kelahirannya di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.

Majlis penyerahan hadiah tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, serta beberapa pemimpin negeri yang lain.

Beras premium berkenaan merupakan beras kampung padi bukit hasil tanaman pesawah tempatan dari daerah Tambunan dan Ranau, yang melambangkan potensi besar sektor pertanian negeri, khususnya dalam usaha memperkasa industri padi serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan Sabah.

Pemberian istimewa itu turut menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen berterusan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memperkasa sektor pertanian dan meningkatkan pengeluaran makanan tempatan demi menjamin kesejahteraan rakyat Sabah.