KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di negeri ini susulan kebimbangan terhadap kemungkinan penghakisan kuasa autonomi dan hak istimewa imigresen Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti isu perundangan dan pengoperasian AKPS, termasuk percanggahan antara Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Menurut beliau, pelaksanaan AKPS akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu masuk negeri, namun Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung ke atas agensi tersebut.
Beliau menegaskan kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak di bawah Malaysia Agreement 1963 adalah hak yang tidak boleh dirunding.
“Kerajaan Negeri hanya akan mempertimbangkan semula pelaksanaan AKPS selepas mendapat jaminan bahawa tiada penghakisan terhadap hak istimewa, kuasa autonomi imigresen dan kedudukan perlembagaan Sabah,” katanya.-BNN





