PAITAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pejabat Wilayah Sabah telah menganjurkan Karnival Komuniti
Kempen Internet Selamat 2026 bersempena Sambutan Hari Kaamatan Daerah Paitan di Dewan Datuk James Ratib, Pekan Botition, Paitan, Sabah.
Karnival tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, YB Datuk James Ratib.
Pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2026 memberi fokus kepada komuniti termasuk di kawasan luar bandar bagi memastikan masyarakat tidak tercicir daripada menerima pendedahan berkaitan keselamatan Internet, risiko siber serta penggunaan media sosial secara bertanggungjawab.
Karnival Komuniti di Paitan merupakan penganjuran pertama peringkat komuniti di Sabah dengan 19 lagi siri karnival akan dilaksanakan di seluruh negeri menerusi pendekatan turun padang dan penglibatan langsung bersama masyarakat.
Pelbagai aktiviti interaktif telah diadakan sepanjang program termasuk pameran agensi, sesi perkongsian keselamatan Internet, aktiviti kekeluargaan dan advokasi komuniti.
Pendaftaran Wira Internet Selamat (WIS) turut dibuka sebagai inisiatif sukarelawan komuniti bagi membantu memperluas mesej penggunaan Internet secara selamat dan berhemah.
Keperluan memperkukuh kesedaran keselamatan Internet di Sabah semakin penting susulan peningkatan aduan kandungan dalam talian.
Sejak tahun 2023 hingga Mei 2026, sebanyak 5,455 aduan direkodkan di Sabah dengan kes penipuan dalam talian mencatat jumlah tertinggi iaitu 1,500 kes, manakala kes buli siber dan pornografi kanak-kanak turut membimbangkan. Di Sandakan sahaja, sebanyak 998 aduan diterima dengan 384 kes melibatkan penipuan dalam talian.
Dalam memastikan keselamatan pengguna Internet terus diperkukuh, khususnya melibatkan kanak-kanak dan remaja, kerajaan turut mengambil langkah lebih tegas termasuk menetapkan bahawa pengguna di bawah umur 16 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial secara bebas mulai pertengahan tahun ini.
Pada masa sama, penyedia perkhidmatan juga dikehendaki menyediakan fungsi kawalan ibu bapa (parental control) bagi membantu mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab.
Inisiatif ini turut selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 atau Online Safety Act (ONSA) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu bagi memperkukuh keselamatan pengguna di alam siber, khususnya melibatkan perlindungan kanak-kanak dan keluarga.
Program ini turut disertai oleh pelbagai agensi dan rakan strategik MCMC termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Karnival tersebut berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung sepanjang program berlangsung sekali gus mencerminkan komitmen MCMC dalam memperluas mesej keselamatan Internet melalui pendekatan yang dekat dengan komuniti dan budaya masyarakat Sabah.-pr/BNN





