KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selaras pindaan perlembagaannya bagi menjadikan 26 kawasan Parlimen di Sabah dan Labuan sebagai bahagian baharu parti.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata persediaan jentera parti itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat.

“Kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang, menyusun strategi parti dan mengemaskan jentera mengikut Parlimen. Kebetulan kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum Parlimen, ini amat sesuai dengan pindaan yang kita buat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Persidangan khas yang dihadiri perwakilan dari seluruh Sabah dan Labuan itu bertujuan untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan bahagiannya ditetapkan mengikut kawasan Parlimen, berbanding Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, usul itu disokong sebulat suara oleh semua pembahas dari sayap Wanita, Pemuda, Beliawanis dan Bahagian Gagasan Rakyat serta perwakilan yang hadir.

Mengulas lanjut mengenai pindaan itu, Hajiji berkata usul yang diluluskan pada persidangan khas itu akan dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan jabatan berkenaan.

“Pindaan perlembagaan parti telahpun selesai dan diberi sokongan sebulat suara. Ini bererti pindaan kita daripada 74 bahagian kepada 26 telah diluluskan dan akan dikemukakan kepada ROS untuk kelulusan. Jadi, kita akan membuat pengemaskinian struktur parti kita selepas ini menggunakan kawasan Parlimen,” katanya.

Mengenai kerjasama menghadapi PRU16, Hajiji berkata Gagasan Rakyat akan melihat seluas- luasnya kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti lain jika membawa kebaikan kepada rakyat dan negeri.

“Dalam politik semua kita mesti tengok seluas-luasnya. Kalau ia mendatangkan kebaikan kepada negeri, perpaduan rakyat, apa salahnya? Itu yang baik. Kerana matlamat kita, perjuangan kita ialah untuk bersatu padu dan membangunkan negeri kita,” katanya.

Sementara itu, pada persidangan berkenaan, Hajiji berkata Gagasan Rakyat turut menerima kemasukan ahli baharu parti itu dari bekas ahli Parti Warisan di bahagian Keningau.

“Saya amat senang hati, gembira kerana sempena dengan Perhimpunan Agung Khas ini, kita juga menerima kemasukan beramai-ramai ahli daripada Warisan di bahagian Keningau untuk sama-sama berjuang dengan Gagasan Rakyat,” katanya.-pr/BNN