KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kekal komited dalam memperkukuh sokongan kepada golongan yang memerlukan, termasuk pesakit HIV/AIDS yang rentan di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Dalam perjuangan bersama ini, respons kita mesti menyeluruh dan meluas. Kita kekal komited sepenuhnya untuk memastikan usaha kita sampai kepada komuniti di seluruh Sabah supaya tiada sesiapa pun, walau sejauh mana lokasi mereka, tercicir.

“Usaha ini turut diperkukuh menerusi kepimpinan dan hala tuju strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pelan Strategik Nasional Menamatkan AIDS2030 (NSPEA2030), yang terus memandu dan menyelaras respons HIV/AIDS negara.

“Ketika Malaysia berusaha mencapai matlamat Menamatkan AIDS 2030, memperluaskan akses kepada rawatan dan meningkatkan pematuhan terhadap rawatan kekal menjadi keutamaan agenda nasional ini,” katanya pada Majlis Minum

Petang Red Ribbon Kota Kinabalu yang dianjurkan oleh Yayasan AIDS Malaysia (MAF) di Hotel Hilton di sini pada Ahad.

Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Caesar Mandela Malakun.

Beliau berkata inisiatif yang memperkukuh sistem sokongan kepada individu yang hidup dengan HIV/AIDS adalah tepat pada masanya dan amat diperlukan.

“Walaupun perkhidmatan rawatan dan penjagaan disediakan secara percuma oleh Kerajaan, masih ramai individu rentan berdepan halangan praktikal dan kewangan untuk mendapatkan rawatan secara konsisten, khususnya mereka daripada golongan berpendapatan rendah dan komuniti luar bandar,” katanya.

Sehubungan itu, program seperti Sabah Health Access Programme (SHAPE) berperanan sebagai mekanisme sokongan penting selain inisiatif KKM iaitu Differentiated HIV Services for Key Populations (DHSKP) dan klinik kesihatan terpilih di seluruh Sabah.

“Program-program ini membantu golongan rentan untuk terus mendapatkan rawatan dan penjagaan secara lebih konsisten dan berkesan.

“Ia juga membantu merapatkan jurang kemiskinan yang dihadapi rakyat Sabah kurang berkemampuan yang hidup dengan HIV/AIDS melalui sokongan berterusan terhadapakses rawatan dan penjagaan seperti bantuan pengangkutan ke hospital dan klinik, elaun makanan serta keperluan asas harian,” katanya.

Ketua Menteri berkata sokongan sedemikian mungkin kelihatan sederhana, namun ia sering menjadi faktor penting dalam memastikan pesakit dapat meneruskan rawatan secara konsisten sambil menjalani kehidupan dengan lebih bermaruah, stabil dan penuh harapan.

Pada masa sama, beliau menegaskan usaha pencegahan dan pendidikan perlu dipertingkatkan.

“Peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan golongan muda, khususnya melalui penularan seksual, memerlukan perhatian  serius dan berterusan,” katanya.

Beliau berkata, sama penting ialah keperluan menangani stigma dan maklumat salah yang terus menghalang kemajuan bermakna dalam respons terhadap HIV.

“Kita mesti memupuk masyarakat yang mendekati cabaran kesihatan awam dengan belas ihsan, kematangan dan kefahaman berasaskan bukti,” katanya.

Hajiji mengakui Kerajaan tidak mampu menangani cabaran ini secara bersendirian memandangkan kerumitan epidemik HIV/AIDS memerlukan pendekatan seluruh masyarakat serta kerjasama kukuh antara agensi kerajaan, institusi kesihatan, organisasi masyarakat sivil, pemimpin komuniti dan sektor swasta.

Dalam hal ini, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri Sabah amat menggalakkan peningkatan penglibatan sektor korporat dalam menyokong inisiatif HIV/AIDS di Sabah.

“Penglibatan organisasi seperti PETRONAS, Sunway Group dan Sime Darby membuktikan bagaimana tanggungjawab bersama dan tindakan kolektif mampu mewujudkan impak yang lebih besar, terselaras dan mampan.

“Ini menekankan kepentingan kerjasama berterusan bagi memastikan respons HIV/AIDS yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Penaung MAF Borneo, Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu serta Pengerusi MAF, Dato Dr Adeeba Kamarulzaman.-pr/BNN