KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pengisytiharan Rizab Biosfera Kinabatangan, yang merupakan rizab biosfera kedua Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker, menandakan satu detik bersejarah dan pencapaian membanggakan bagi Sabah dan Malaysia.
Beliau berkata, pengiktirafan oleh UNESCO tahun lalu membuktikan bahawa landskap Kinabatangan yang meliputi kira-kira 413,866 hektar mempunyai nilai biodiversiti yang luar biasa serta kepentingan ekologi di peringkat antarabangsa.
“Ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan negeri untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti di pentas global.
“Dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian antarabangsa dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta peluang kerjasama global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan ulang tahun ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan majlis pengisytiharan Rizab Biosfera Kinabatangan di Padang Merdeka, di sini, pada Ahad.
Hajiji berkata, Rizab Biosfera Banjaran Crocker yang meliputi kawasan seluas 350,584 hektar dan diisytiharkan pada tahun 2014 mempunyai nilai yang amat penting kepada Sabah.
Dianggarkan lebih satu juta penduduk tinggal di hampir 400 kampung merentasi 10 daerah dalam kawasan Rizab Biosfera Banjaran Crocker iaitu Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar dan Membakut.
Menurut beliau, pengiktirafan Rizab Biosfera Banjaran Crocker turut menyumbang kepada pencapaian Sabah memperoleh status Tapak Mahkota Tiga UNESCO (UNESCO Triple Crown Sites).
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak berkepentingan agar terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran komuniti serta meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan manfaat pengiktirafan tersebut dapat dinikmati secara meluas dan berkekalan.
“Ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk melindungi dan memulihara alam semula jadi kerana fungsi ekosistem amat penting untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan sosioekonomi.
“Kewujudan kedua-dua rizab biosfera ini juga berkait rapat dengan usaha Kerajaan Negeri merealisasikan inisiatif Sabah Maju Jaya. Tahun ini, pemuliharaan ekosistem penting Sabah diteruskan menerusi SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah kini berada di barisan hadapan dalam usaha perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Selama bertahun-tahun, Sabah telah melindungi hutan, hidupan liar dan antara ekosistem terkaya di rantau ini. Pada masa ini, hampir 30 peratus kawasan tanah Sabah telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA).
“Kami bertekad untuk terus memperkukuh peranan Sabah sebagai penyerap karbon, termasuk menerusi Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Kinabatangan.
“Sabah kekal sebagai penyerap karbon bersih utama yang menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah penyerapan karbon Malaysia melalui hutan tropika yang luas.
“Mesej utama ialah rizab biosfera menyokong kestabilan iklim, khususnya melalui fungsinya sebagai penyerap karbon,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua rizab biosfera itu merupakan kawasan istimewa yang melindungi alam semula jadi sambil memastikan aktiviti manusia diurus secara mampan.
“Rizab Biosfera Banjaran Crocker melindungi ekosistem gunung dan hutan bagi memulihara flora dan fauna unik serta menyokong fungsi kawasan tadahan air.
“Sementara itu, Rizab Biosfera Kinabatangan memberi tumpuan kepada ekosistem sungai dan tanah lembap yang menjadi habitat penting hidupan liar serta berperanan mengekalkan sistem air yang sihat.
“Apabila hutan dilindungi dan dibiarkan pulih serta menjana semula secara semula jadi, ia akan terus menyimpan karbon dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa rizab biosfera memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi tempatan dan usaha pemuliharaan akan lebih berkesan apabila komuniti setempat turut menerima manfaat daripadanya.
“Di Banjaran Crocker dan Kinabatangan, komuniti tempatan boleh memperoleh manfaat melalui pelancongan mampan termasuk program inap desa dan perusahaan berasaskan komuniti.
“Peluang pendapatan jangka panjang ini menggalakkan masyarakat terus melindungi hutan dan hidupan liar kerana alam sekitar menjadi sumber pendapatan yang stabil, bukannya sekadar sumber keuntungan jangka pendek,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan bahawa pengiktirafan kedua-dua rizab biosfera itu perlu membawa manfaat serta limpahan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat yang tinggal dalam kawasan rizab biosfera tersebut.-pr/BNN




