KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah meluluskan pelantikan Datuk Zainudin Aman sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang baharu, berkuat kuasa 29 Jun 2026.

Zainudin, yang juga Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, akan menggantikan Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 28 Jun 2026.

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, dengan pelantikan itu, diharapkan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan terus maju dan berdaya saing dalam memacu transformasi pentadbiran negeri ke arah kemajuan serta kecemerlangan yang berterusan.

Menurut beliau, pelantikan itu juga akan memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.

Beliau turut berkata bahawa Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar atas khidmat cemerlang, dedikasi, profesionalisme dan integriti beliau sepanjang memegang jawatan tersebut sejak tahun 2019.

Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar turut dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Jabatan Ketua Menteri, berkuat kuasa 1 Jun 2026. -PR/BNN.