KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah merangkap Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata perbincangan mengenai hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu dilihat dalam kerangka memperkukuh sistem Persekutuan Malaysia, bukannya sebagai cabaran terhadap perpaduan negara.

Menurut beliau, kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menyentuh soal pengagihan hasil negara antara Persekutuan dan negeri telah membuka semula ruang perbincangan mengenai keperluan mewujudkan sistem yang lebih seimbang dan adil kepada semua negeri.

Salleh berkata, Sabah telah lama mengemukakan isu berkaitan perkongsian hasil serta pelaksanaan semangat Perjanjian Malaysia (Malaysia Agreement) 1963 yang memperuntukkan tahap autonomi lebih besar kepada negeri-negeri yang membentuk Malaysia.

“Walaupun latar belakang sejarah Johor dan Sabah berbeza, kedua-duanya pada asasnya membangkitkan persoalan yang sama iaitu bagaimana sistem Persekutuan dapat mengimbangi kepentingan nasional dengan aspirasi dan keperluan pembangunan negeri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan bahawa perbincangan mengenai kuasa fiskal, perkongsian hasil dan autonomi negeri perlu dilihat sebagai peluang untuk menilai semula keberkesanan sistem Persekutuan sedia ada serta mengambil iktibar daripada amalan terbaik negara-negara persekutuan lain.

Menurutnya, sebuah Persekutuan yang kukuh memerlukan negeri-negeri yang berdaya saing, mempunyai sumber mencukupi dan mampu melaksanakan agenda pembangunan mengikut keperluan setempat.

“Negeri-negeri yang lebih kuat akan menyumbang kepada Malaysia yang lebih kuat. Matlamat akhirnya ialah membina sebuah Persekutuan yang adil, berkesan dan seimbang demi manfaat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.-pr/BNN