KENINGAU : Menjadikan Keningau sebagai destinasi pelancongan dan menambahbaik sistem Agro Tani antara fokus utama Dato’ Victor P. Paut sekiranya mandat diberikan kepada beliau sebagai Ketua Bahagian PGRS P.180 Keningau.
Menurutnya, Parlimen Keningau yang terbahagi kepada tiga DUN ini (Tambunan, Liawan dan Bingkor) masing-masing miliki daya tarikan tersendiri dari kedua-dua segi iaitu agro tani dan pelancongan, tetapi sangat memerlukan sentuhan baharu bagi menjana pertumbuhan ekonomi di kawasan ini di masa akan datang.
Dalam satu temubual esklusif di sini, Victor yang kini menyandang Ketua Bahagian PGRS N39 Tambunan itu menyifatkan kepimpinan sedia ada perlu diperbaharui demi kemakmuran rakyat Keningau itu sendiri.
Katanya, misi menuntut hak-hak Sabah khususnya 40 peratus itu sudah menjadi ikhtiar rasmi Kerajaan Negeri dan bukan lagi menjadi perjuangan individu semata-mata.
“Fokus kini harus ditumpukan sepenuhnya kepada pembangunan mampan, penjanaan ekonomi dan kebajikan rakyat di seluruh daerah Keningau ini.
Rakyat Keningau sudah terlalu lama dihidangkan dengan perjuangan menuntut hak-hak Sabah itu sehingga kemajuan dan kesejahteraan rakyat Keningau dijadikan nombor 2 pula.
“Kita hormati perjuangan itu sehingga Kerajaan Negeri Sabah sendiri sudah menjadikannya sebagai satu keutamaan demi rakyat.
Oleh yang demikian, sudah tiba masanya kita memikirkan pula keperluan rakyat Keningau itu sendiri kerana ianya adalah agenda sebenar dalam kepimpinan politik hari ini,” jelasnya.
Menurut Victor, daerah Keningau sangat kaya dengan hasil buminya namun penghasilan itu belum mencapai ke pasaran yang lebih luas kerana para peladang dan petani di daerah ini masih berada dalam kelompok pasaran tempatan sahaja.
“Sesuatu perlu dilakukan untuk pengusaha agro tani daerah ini menerokai pasaran domestik yang lebih luas lagi sehingga ke peringkat global.
Begitu halnya dengan sektor pelancongan kita di Keningau.
“Kita memiliki banyak lokasi menarik berpandukan kepada alam semulajadi seperti sungai, air terjun dan bukit bukau,” katanya lagi.
Fasiliti Inap Desa (homestay) di daerah ini tegasnya lagi, perlu dinaik taraf seperti mana yang diamalkan di kawasan-kawasan pelancongan lain di Sabah.
Kawalan dari segi ‘harga patut’ berdasarkan servis, fasiliti dalaman dan kemudahan yang tersedia, perlu ditambah baik.
“Rakyat Keningau memerlukan sesuatu untuk memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi supaya kuasa beli itu wujud di kalangan para peniaga dan pengusaha.
Tanpa kuasa beli yang kuat, ekonomi akan bergerak perlahan dan pertumbuhan kemajuan akan terencat dari semua sudut malah, peluang-peluang pekerjaan juga akan turut terjejas,” ujarnya lagi.
Katanya, golongan belia dewasa ini sangat perlukan sentuhan drastik dalam apa juga bidang yang mereka minati termasuklah dunia perniagaan, Keusahawanan dan automotif.
Penggalakkan dan peluang-peluang itu perlu wujud supaya mereka tidak memikirkan untuk berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki.
“Inilah yang akan saya perjuangkan jika berpeluang diberikan mandat menerajui PGRS P.180 Keningau, meskipun tidak bergelar Wakil Rakyat, impian kita untuk melihat Keningau maju dan berdaya saing, perlu dijadikan fokus utama demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di Keningau ini pada masa akan datang,” tegasnya lagi.-pr/BNN





