KOTA KINABALU: Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menegaskan komitmennya untuk terus memantau secara dekat pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, sambil menekankan bahawa setiap kelewatan yang berlaku akan memberi kesan kepada kos kerajaan serta manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan agensi berkaitan bagi meninjau kemajuan beberapa pakej kerja utama projek berkenaan.
Menurutnya, beberapa pakej kerja menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran utama yang ditetapkan tahun ini.
“Saya berasa gembira dengan kemajuan yang dicapai setakat ini. Pakej Kerja (WP) 3, 4, 10 dan 29 berada pada landasan yang betul untuk memperoleh Sijil Siap Sebahagian (CPC) pada tahun ini,” katanya.
Satu pencapaian penting turut direkodkan menerusi WP4 apabila laluan baharu empat lorong dua hala antara Jejambat Bongawan dan Jejambat Benoni dibuka kepada pengguna pada 15 Jun lalu.
Pembukaan laluan itu dijangka dapat meningkatkan kelancaran trafik serta memperkukuhkan aspek keselamatan jalan raya bagi pengguna yang melalui kawasan berkenaan.
Salleh berkata, WP6 dan WP7 pula dijangka menyiapkan skop kerja asal masing-masing, memperoleh status CPC dan membuka laluan dari Jejambat Putatan ke Persimpangan Bertingkat Sepanggar menjelang Oktober tahun ini.
“Baki lima pakej di bawah Fasa 1A dijadualkan siap antara tahun 2027 hingga 2028.
“Walaupun kemajuan yang dicapai adalah menggalakkan, tidak seharusnya ada ruang untuk kelewatan yang boleh dielakkan,” katanya.
Beliau menegaskan kelewatan projek bukan sahaja meningkatkan kos pembinaan, malah menangguhkan manfaat ekonomi dan sosial yang sepatutnya diterima rakyat menerusi pelaksanaan projek infrastruktur.
“Setiap kelewatan mempunyai kos. Ia meningkatkan perbelanjaan projek dan melambatkan manfaat ekonomi serta sosial yang sewajarnya dinikmati rakyat Sabah,” katanya.
Sebagai Ketua Merinyu Projek Sabah, Salleh berkata beliau akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual serta sebarang isu yang menjejaskan kemajuan projek dapat ditangani dengan segera.
“Garis masa sudah jelas. Sasaran sudah diketahui. Rakyat Sabah mengharapkan hasil. Tanggungjawab kita adalah memastikan setiap pakej dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Timbalan Pengarah JKR, agensi kerajaan berkaitan serta kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan.-pr/BNN





