KOTA KINABALU: Pengalaman memegang pelbagai jawatan kanan di peringkat Persekutuan, termasuk hampir sedekad menerajui kementerian berkaitan pembangunan luar bandar, tidak seharusnya dijadikan kebanggaan semata-mata tanpa melihat hasil dan pencapaiannya kepada rakyat Sabah.
Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, berkata rakyat berhak menilai sejauh mana kuasa dan peruntukan besar yang pernah berada di bawah tanggungjawab Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, berjaya diterjemahkan kepada kemajuan negeri.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Shafie dalam sidang media Warisan pada 14 November lalu, yang antara lain menyentuh pengalaman serta pelbagai jawatan kanan yang pernah disandangnya, termasuk sebagai Ketua Menteri Sabah.
Menurutnya, pengalaman dan pencapaian peribadi Shafie ketika memegang pelbagai portfolio kementerian sememangnya tidak dinafikan, namun rakyat Sabah berhak menilai hasil sebenar kepimpinan beliau, khususnya dalam menyelesaikan masalah infrastruktur asas.
Katanya, masalah bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya luar bandar kekal tidak selesai sepanjang tempoh Shafie menerajui kementerian berkaitan pembangunan luar bandar, yang disifatkannya sebagai portfolio strategik dan mempunyai peruntukan pembangunan besar untuk Sabah.
Aksyah turut membangkitkan prestasi ekonomi negeri ketika Shafie menjadi Ketua Menteri pada 2018, dengan mendakwa pentadbiran ketika itu mewarisi kedudukan kewangan dan rizab negeri yang kukuh, namun gagal memacu pertumbuhan ekonomi lebih tinggi.
Malah, katanya, kadar pertumbuhan ekonomi Sabah merosot ke paras terendah di Malaysia pada 2018 dan 2019 sebelum mencatatkan pertumbuhan negatif pada 2020.
Dalam aspek pembangunan infrastruktur, beliau mendakwa pentadbiran terdahulu merencatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi, termasuk Lebuhraya Pan Borneo yang mengalami kelewatan ketara.
Beliau turut membangkitkan keputusan menamatkan kontrak enam syarikat konsesi yang mengendalikan 58 Loji Rawatan Air (LRA) tanpa pelan peralihan teliti, yang menurutnya mengakibatkan kecelaruan operasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta memaksa kerajaan negeri menanggung bayaran pampasan RM315.2 juta.
Menyentuh isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan hasil bersih 40 peratus Sabah, Aksyah mempersoalkan pencapaian Shafie dalam memperjuangkan kedua-dua perkara itu ketika memegang jawatan Naib Presiden UMNO dan Menteri Kanan Kerajaan Persekutuan.
“Apakah pencapaian dan jasa besar beliau terhadap dua perkara ini ketika memegang jawatan berkenaan? Pernahkah beliau menuntutnya dengan tegas, atau sekadar berdiam diri demi memelihara kedudukan politik beliau ketika itu?” katanya.
Sebaliknya, Aksyah berkata fakta dan data rasmi membuktikan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memulihkan serta memperkukuh kedudukan ekonomi dan infrastruktur negeri secara konsisten.
Antara pencapaian yang dibangkitkannya ialah kejayaan memuktamadkan semua pakej Lebuhraya Pan Borneo yang tertangguh sebelum ini serta pelaksanaan pelbagai projek pembinaan dan naik taraf LRA di seluruh negeri.
Katanya, kutipan hasil Sabah turut meningkat saban tahun sejak GRS mengambil alih pentadbiran, daripada sekitar RM4 bilion kepada melebihi RM7 bilion.
Beliau berkata kemasukan pelaburan domestik dan asing juga terus bertambah, selain keyakinan antarabangsa terhadap Sabah yang ditunjukkan menerusi kunjungan berterusan duta-duta negara luar dengan hasrat menjalin kerjasama ekonomi dan strategik bersama kerajaan negeri.
Dalam aspek kebajikan dan pembangunan modal insan, katanya, bantuan kepada golongan sasar terus diperluaskan, manakala peruntukan sektor pendidikan dan pembangunan modal insan ditingkatkan setiap tahun ke tahap tertinggi dalam sejarah negeri.
Aksyah berkata projek fizikal berskala besar seperti lebuh raya dan loji air tidak mungkin dapat disiapkan dalam tempoh semalaman, sebaliknya memerlukan masa serta pelaksanaan teratur sebelum manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat.
Beliau yakin projek berkenaan dapat dinikmati sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun selepas pembentukan kerajaan GRS melalui mandat baharu, namun mempersoalkan tindakan Shafie dan jentera Warisan yang menurutnya saban hari membangkitkan isu kelewatan projek untuk mencetuskan kemarahan rakyat serta membentuk persepsi buruk terhadap kerajaan negeri.
Katanya, tempoh tiga tahun itu juga pernah dijadikan janji manifesto Shafie sendiri ketika Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17 lalu.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan dakwaan berterusan pemimpin Warisan yang melabelkan kerajaan negeri sebagai gagal sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab dan bertujuan menutup kelemahan rekod pentadbiran mereka sendiri.
“Tindakan pihak lawan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan hari ini tidak ubah seperti peribahasa Melayu, mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.
“Rekod adalah bukti, bukan naratif ciptaan syok sendiri,” katanya dalam posting di Facebook.-pr/BNN





