KOTA KINABALU: Budaya kepenggunaan yang bijak, beretika dan bertanggungjawab perlu terus diperkasakan bagi membantu rakyat mengurus kos sara hidup serta mewujudkan ekosistem perdagangan yang adil, telus dan berintegriti.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, berkata pengguna perlu lebih peka terhadap hak dan tanggungjawab mereka dengan mengamalkan sikap membandingkan harga, membuat pilihan yang tepat serta mengelakkan pembaziran.

Katanya, usaha itu memerlukan kerjasama kerajaan, peniaga dan pengguna bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Program seperti Fiesta Kepenggunaan menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna, selain memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan secara lebih dekat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, pada Majlis Penutupan Fiesta Kepenggunaan KPDN Sabah 2026 di One Borneo Shopping Mall, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sabah, Shahril Nizam Shahidin.

Sepanjang fiesta itu, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pertandingan Eksplorasi Celik Pengguna (X-CAPE), pertandingan mewarna kanak-kanak, Battle of the Bands (BOTB), penyampaian hadiah kepada pemenang serta penyerahan Ihsan Food Bank (i-FB) kepada UiTM Cawangan Sabah, IPG Kampus Gaya dan Politeknik Kota Kinabalu.

Mohammad Ghazali turut merakamkan penghargaan kepada KPDN Sabah, agensi kerajaan, rakan strategik dan semua pihak yang menjayakan program itu, sambil berharap ilmu serta maklumat yang diperoleh dapat dimanfaatkan bagi membudayakan amalan kepenggunaan yang lebih bijak dan berhemah.-pr/BNN