PUTATAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) mengadakan tinjauan rapat ‘walkabout’ malam semalam di beberapa lokaliti di Tg Keramat sebagai usaha mendekati permasalahan setempat.
Dalam tinjauan bermula jam 8.30 hingga 11 malam itu, SAY bersama rombongan berserta pasukan keselamatan dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berjalan kaki kira-kira enam kilometer merentasi tiga buah kampung di lokaliti tersebut.
Menurutnya, antara tujuan utama pelaksanaan program tersebut adalah melakukan pemantauan rapat mengenai permasalahan penduduk serta prasarana kemudahan pada waktu malam.
“Dalam rondaan bersama KRT dan pihak keselamatan, polis di tiga buah kampung iaitu Kg Muhibbah, Kg Contoh dan Kg Sri Pandan ini, saya dapati ada isu-isu timbul melibatkan kegiatan belia, kemudahan lampu jalan serta projek penambahbaikan di kawasan setempat.
“Apa-apa pun, saya selaku wakil rakyat di sini berpuas hati terhadap keadaan semasa dan berharap ada penambahbaikan membabitkan isu keselamatan serta pelaksanaan projek di sekitar tiga buah kampung berkenaan, “katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Perkasa Trading Sdn Bhd berkata demikian selepas program Jom Ronda Sukarela KRT Daerah Putatan di Dewan Kg Muhibbah Lama, dekat sini, malam Sabtu.
Mengulas mengenai program tersebut, SAY dalam pada itu meminta penduduk setempat terus menjadi mata dan telinga kepada pihak wakil rakyat serta pasukan keselamatan untuk memastikan kesejahteraan dapat terpelihara dari semasa ke semasa.
Tambahnya lagi, rondaan dan walkabout seperti itu akan dilaksanakan lagi di masa hadapan selepas menerima respon positif daripada penduduk setempat.-pr/BNN




