KOTA KINABALU: Sebanyak 39 struktur haram di kawasan setinggan belakang Likas Square dirobohkan menerusi Operasi Bersepadu Perobohan Struktur Haram yang dilaksanakan bagi membanteras pencerobohan tanah kerajaan serta memelihara rizab sungai dan sistem saliran.

Operasi itu diketuai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku pemilik kawasan rizab parit dan sungai dengan penyertaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi Jabatan Penguatkuasaan bersama beberapa agensi penguat kuasa lain.

DBKK dalam kenyataan berkata operasi berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk membanteras pencerobohan tanah kerajaan, mengurangkan risiko banjir serta memastikan pembangunan bandar raya dilaksanakan secara terancang, selamat dan mematuhi peruntukan undang-undang.

Menurut kenyataan itu, kawasan setinggan di belakang Likas Square pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan sebelum ini, namun hasil pemantauan mendapati struktur haram didirikan semula oleh penghuni yang dikenal pasti sebagai bukan warganegara sehingga menjejaskan fungsi rizab parit dan sungai, keselamatan awam serta kelestarian alam sekitar.

Bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil dan mengikut lunas undang-undang, sebanyak 39 Notis Pengosongan, Perobohan dan Pengalihan diserahkan kepada penghuni pada 25 Jun lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum operasi perobohan dijalankan pada 9 Julai.

Operasi yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu membabitkan seramai 25 anggota daripada JPS, DBKK melalui Bahagian Perobohan dan Struktur Haram, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity serta Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).

Sepanjang operasi, sebanyak 38 rumah dirobohkan menggunakan jentera kontraktor yang dilantik JPS, manakala sebuah lagi dirobohkan sendiri oleh pemilik.

Keseluruhan operasi dilaporkan berjalan lancar, teratur dan terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

DBKK menegaskan sebarang pembinaan rumah atau struktur tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan, termasuk di kawasan rizab sungai dan rizab parit, merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Penguatkuasaan akan terus diperkasakan secara konsisten bagi melindungi kepentingan awam dan aset kerajaan.

Sehubungan itu, DBKK menyeru orang ramai supaya tidak menceroboh tanah kerajaan atau membina sebarang struktur tanpa kelulusan pihak berkuasa, selain menghargai kerjasama semua agensi serta pegawai dan anggota yang terbabit dalam menjayakan operasi bersepadu itu demi memastikan Kota Kinabalu kekal sebagai bandar raya yang selamat, bersih, berdaya huni dan mampan.-pr/BNN