KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sabah mengalu-alukan pelabur yang benar-benar serius untuk datang dan menjalin kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Beliau berkata, transformasi ekonomi Sabah amat memberangsangkan apabila negeri ini berkembang daripada ekonomi yang bergantung kepada sektor primer kepada sebuah ekonomi yang lebih pelbagai dan berdaya saing.

“Seiring dengan matlamat ekonomi Malaysia secara keseluruhan, komitmen kita terhadap pertumbuhan kekal teguh. Sabah terbuka untuk pelaburan,” katanya pada Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia-Pasifik bagi Pembangunan Mampan yang berlangsung di Magellan Sutera, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, sidang kemuncak itu amat bertepatan pada masanya kerana menjadi platform kepada pemimpin pemikiran untuk membincangkan pelaburan impak sebagai salah satu tonggak penting dalam pembangunan mampan.

“Kami mengiktiraf bahawa pelaburan impak pada asasnya adalah penyaluran modal kepada pelaburan yang mampu menghasilkan manfaat sosial dan alam sekitar yang boleh diukur, di samping pulangan kewangan.

“Sabah menantikan pelabur yang mampu menggabungkan kepakaran, pengalaman dan pembiayaan bagi memacu pembangunan sosial serta ekologi yang inklusif dengan hasil yang nyata,” katanya.

Menurut beliau, sidang kemuncak itu merupakan satu langkah penting dalam usaha Sabah muncul sebagai antara pusat utama pembangunan mampan dan pelaburan impak di rantau Asia-Pasifik.

Beliau berkata, hanya dua bulan lalu beliau telah berucap pada Sidang Kemuncak Kelestarian di Sabah dan menjelaskan bahawa jauh sebelum kelestarian menjadi agenda antarabangsa, Sabah telah pun memelihara hutan, lautan, hidupan liar serta antara ekosistem terkaya di rantau ini.

“Sabah menyumbang bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi menerusi dasar, pengurusan tanah dan pengorbanan yang sebenar.

“Hari ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas). Sabah juga mengekalkan status sebagai negeri penyerap karbon bersih (carbon-negative) berdasarkan data inventori gas rumah hijau, disokong oleh keluasan kawasan hutan yang meningkatkan keupayaan negara menyerap karbon.

“Pendekatan pengurusan hutan secara inklusif bersama komuniti tempatan membolehkan kita mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan kesejahteraan sosioekonomi rakyat. Sabah berakar umbi kepada warisan alam semula jadi, dan itulah identiti kita,” katanya.

Pada masa sama, Hajiji menegaskan keperluan pembangunan Sabah masih mendesak.

“Kita memerlukan jalan raya yang lebih baik, bekalan elektrik yang lebih stabil, air bersih yang mencukupi serta lebih banyak peluang ekonomi. Rakyat memerlukan peningkatan taraf hidup yang nyata.

“Namun kita jelas bahawa pertumbuhan tidak boleh dicapai dengan mengorbankan alam sekitar yang menjadi asas kelangsungan masa depan kita.

“Persoalannya bukan memilih antara kelestarian atau pembangunan, tetapi bagaimana membina model baharu yang menjadikan kelestarian sebagai pemacu sebenar pertumbuhan ekonomi. Inilah tema sidang kemuncak ini dan cabaran serta peluang utama pentadbiran saya,” katanya.

Beliau berkata, rantau Asia-Pasifik berada pada kedudukan terbaik untuk mencatat pertumbuhan pesat hasil ekonomi yang dinamik, proses urbanisasi yang pantas dan potensi pasaran yang semakin berkembang, sekali gus menjadi destinasi utama pelaburan.

“Dunia kini memandang Asia-Pasifik bukan sahaja sebagai rantau berpotensi dari segi ekonomi, malah sebagai peneraju pemikiran dalam bidang teknologi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.

“Forum seperti sidang kemuncak ini menyediakan platform terbaik kepada pemain industri untuk menjalin kerjasama global serta memperkenalkan penyelesaian yang mampu membawa perubahan,” katanya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Institut Pengajian Terbuka dan Lanjutan George Town (GIOAS), Universiti Terbuka Wawasan Pulau Pinang, Tan Sri Andrew Sheng, serta pasukannya kerana bersama-sama Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menganjurkan sidang kemuncak tersebut.-pr/BNN