KOTA KINABALU: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 dan RUU Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem perundangan adat serta institusi kepimpinan masyarakat di negeri ini.
Ketua Penerangan UPKO Malaysia, Dr Peter Jr Naintin, berkata kedua-dua RUU itu bukan sahaja memperkemas aspek pentadbiran, malah menjadi asas kepada pembinaan sistem kehakiman adat yang lebih moden, tersusun dan berintegriti.
Katanya, RUU Mahkamah Anak Negeri 2026 membawa beberapa pembaharuan penting termasuk penstrukturan semula hierarki Mahkamah Anak Negeri kepada Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.
“Turut diperkenalkan ialah Jawatankuasa Penasihat Pelantikan Kehakiman Anak Negeri bagi memastikan pelantikan hakim dibuat berdasarkan merit, kelayakan, pengalaman dan integriti.
“RUU itu juga memperkenalkan pengiktirafan rasmi kepada Peguam Mahkamah Anak Negeri, penubuhan Daftar Penatua bagi membantu mahkamah dalam kes berkaitan adat resam serta pelaksanaan mahkamah litar dan prosiding melalui teknologi komunikasi bagi meningkatkan akses kepada keadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dr Peter berkata, pembaharuan berkenaan akan memperkukuh kedudukan Undang-Undang Adat Anak Negeri sebagai sistem perundangan yang terus berkembang selaras dengan keperluan semasa.
Sementara itu, mengulas mengenai RUU Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026, Dr Peter berkata, undang-undang baharu itu menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas.
Katanya, ia berhubung pelantikan, fungsi, tanggungjawab, tempoh perkhidmatan, tatakelakuan dan penamatan pelantikan pemimpin masyarakat.
“Langkah itu akan memperkukuh institusi kepimpinan komuniti tanpa menjejaskan peranan tradisi yang telah sekian lama menjadi tunjang pentadbiran masyarakat di Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Peter mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan pelaksanaan Program Pensijilan Kompetensi untuk Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung meliputi aspek kepimpinan, tadbir urus, undang-undang, integriti, penyelesaian konflik dan pengurusan komuniti.
Beliau turut menyarankan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri dihidupkan semula sebagai pusat latihan rasmi bagi meningkatkan kompetensi pemimpin masyarakat.
“Saya juga berpandangan isu pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Syariah, khususnya melibatkan Anak Negeri beragama Islam, perlu terus diperhalusi bagi memastikan pelaksanaan keadilan yang lebih jelas.
“Kelulusan kedua-dua RUU berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa institusi adat dan kepimpinan komuniti selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Dr Peter turut menyeru semua pihak termasuk pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi agar memberikan kerjasama bagi memastikan pelaksanaan undang-undang baharu itu berjalan lancar.
“Undang-Undang Adat Anak Negeri merupakan warisan yang perlu terus dipelihara dan diperkasakan demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.-pr/BNN





