KENINGAU: Semua pihak diseru terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan agenda pembangunan, pertumbuhan ekonomi serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kestabilan dan kemajuan negeri.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata Sabah ketika ini memerlukan suasana politik yang stabil serta pentadbiran yang mantap bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelancaran pelaksanaan pelbagai program pembangunan.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah menunjukkan komitmen jelas dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik, kaum, agama atau kawasan.

Menurutnya, pendekatan inklusif yang diamalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut membuka ruang kerjasama dengan wakil rakyat daripada pelbagai parti dan calon bebas yang berkongsi aspirasi membangunkan Sabah.

Katanya, semangat kerjasama itu diterjemahkan melalui pelantikan wakil rakyat dalam pelbagai jawatan pentadbiran kerajaan negeri, termasuk dalam kabinet, agensi kerajaan dan institusi pembangunan masyarakat, sekali gus mencerminkan keterbukaan kepimpinan negeri dalam mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa pemegang jawatan masyarakat seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Mereka bukan sahaja menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat, malah menjadi saluran untuk membawa suara rakyat kepada pihak kerajaan. Oleh itu, profesionalisme, kerjasama dan kesetiaan terhadap amanah yang diberikan perlu terus diperkukuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yazid berkata, kepimpinan Hajiji juga memperlihatkan pendekatan yang matang dan berjiwa besar dengan memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh perpaduan, mempercepatkan pembangunan negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat, pemimpin masyarakat, penjawat awam dan semua pihak berkepentingan untuk terus berganding bahu menyokong usaha kerajaan negeri demi memastikan segala agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Katanya, aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) memerlukan komitmen serta sokongan padu seluruh rakyat bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang.-pr/BNN