PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo hingga SMK Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan keselamatan jalan raya di sepanjang koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar yang pesat membangun.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur jalan raya di Sabah.

Beliau berkata, koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar kini menjadi antara kawasan yang paling pesat membangun di negeri ini, dengan peningkatan pembangunan perumahan, premis kerajaan, sekolah dan produk pelancongan.

Perkembangan pesat itu turut menyebabkan peningkatan ketara jumlah kenderaan, sekali gus mengakibatkan kesesakan terutama pada waktu puncak.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus merancang dan melaksanakan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat serta meningkatkan kesejahteraan mereka,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo hingga SMK Kinarut di Galeri Pameran WSG Kinarut, di sini hari ini.

Hajiji berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan penaiktarafan jalan dua lorong sedia ada kepada jalan empat lorong berkembar dua, selain memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya.

Antara kemudahan yang disediakan ialah jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas dan tempat perlindungan motosikal bagi manfaat pelajar, pejalan kaki dan pengguna jalan raya.

Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam urusan pengambilan tanah dan pemindahan utiliti bagi memastikan projek itu berjalan lancar.

Hajiji turut mengarahkan semua jabatan dan agensi utiliti berkaitan bertindak segera menyelesaikan sebarang isu teknikal supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual.

Beliau berkata, infrastruktur jalan raya yang cekap dan selamat merupakan tunjang kepada pertumbuhan sosioekonomi serta mampu merangsang pelaburan dan sektor pelancongan.

Beliau yakin projek itu dapat mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kesalinghubungan dan merancakkan aktiviti ekonomi di Papar selaras dengan aspirasi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Hajiji berkata, Papar kini mengalami transformasi ketara menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, selain berpotensi menjadi destinasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak selepas Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya.

Ketua Menteri turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar 2 serta kerja-kerja kecemasan menambah batu dan tanah di sepanjang tebing pengambilan air Sungai Kogopon, termasuk kerja perlindungan tebing sungai, yang dicadangkan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, demi kemudahan dan manfaat rakyat Papar.-pr/BNN