KOTA KINABALU: Sabah meletakkan sasaran memburu 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026 dengan menghantar kontinjen seramai 943 atlet dan pegawai, termasuk 744 atlet yang akan beraksi dalam 36 daripada 37 jenis sukan dipertandingkan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sasaran itu adalah kesinambungan usaha meningkatkan pencapaian Sabah selepas rekod terbaik negeri pada SUKMA Perak 2018 yang menyaksikan kontinjen membawa pulang 33 pingat emas.
“Hasrat kita kekal untuk mencapai sasaran 40 pingat emas. Saya percaya atlet Sabah mempunyai kemampuan merealisasikan impian itu hasil persiapan rapi yang dilakukan sejak awal,” katanya ketika mengumumkan penyertaan rasmi Kontinjen Sabah ke SUKMA dan PARA SUKMA Selangor 2026 di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), hari ini.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 744 atlet yang dipilih, seramai 385 adalah atlet lelaki manakala 359 atlet wanita.
Menurutnya, Sabah akan menyertai semua 30 sukan wajib dan enam daripada tujuh sukan pilihan, dengan hanya Kabaddi tidak disertai kerana negeri itu belum mempunyai program pembangunan bagi sukan berkenaan.
Bagi PARA SUKMA pula, Sabah menghantar kontinjen seramai 271 orang membabitkan 154 atlet dan 117 pegawai, selain menyasarkan 66 pingat emas dalam usaha muncul semula sebagai juara keseluruhan.
Katanya, jumlah pegawai pengiring yang lebih ramai bagi kontinjen PARA SUKMA adalah bagi memenuhi keperluan atlet yang memerlukan bantuan khas termasuk penggunaan kerusi roda dan atlet bermasalah penglihatan.
Nizam berkata, kontinjen Sabah diketuai Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Haji Asun selaku Ketua Kontinjen (Chief de Mission), manakala beliau sendiri mengetuai delegasi Sabah ke temasya berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan negeri termasuk penyediaan peruntukan bagi persiapan atlet.
“Terima kasih juga kepada Majlis Sukan Negeri Sabah, Lembaga Sukan Sabah, persatuan sukan negeri, jurulatih, pegawai, penaja dan ibu bapa yang banyak berkorban dalam memastikan atlet Sabah berada pada tahap terbaik.
“Saya berharap semua atlet membawa semangat juang tinggi, berdisiplin serta menjunjung nama baik Sabah sepanjang temasya berlangsung,” katanya.
SUKMA Ke-22 Selangor dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA akan diadakan pada 5 hingga 11 September depan.-BNN





